Sempurnanya Iman Seseorang Adalah Dengan Menurut Bulat-Bulat Apa Yang Dibawa Oleh Rasullullah SAW

Hadis Keenam Belas
16- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ. (الأربعين النووية)

16 - Dari Abdullah bin `Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga hawa nafsunya tunduk menurut hukum-hukum dan pengajaran yang aku telah membawanya."
(Al-Arba'in An-Nawawiyah)
Hadis yang keenam belas ini menerangkan bahawa:
Sempurnanya iman seseorang adalah dengan menurut bulat-bulat apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
Junjungan kita Muhammad s.a.w.  bukan sahaja seorang penganjur yang terkemuka bahkan Baginda juga seorang Rasul yang memimpin umat manusia dengan berpandukan wahyu dan Allah `Azza wa Jalla.
Oleh itu maka setiap orang hendaklah meletakkan kepercayaannya kepada Rasulullah s.a.w. lebih daripada kepercayaannya kepada diri sendiri dan apa yang dibawa oleh Baginda tidak boleh ditentang dengan apa yang difikirkan dan dipersetujui oleh diri masing-masing kerana segala yang disampaikan oleh Baginda dan Tuhan bukan untuk dicuai-cuaikan dan bukan pula untuk dijadikan suatu perkara yang diserahkan kepada perasaan dan runtunan hawa nafsu;  bahkan untuk dipatuhi dengan perasaan tenang hati serta persetujuan yang sebulat-bulatnya.
Orang yang mengutamakan fikiran atau pendapat dirinya daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. maka imannya tidak sempurna.  Demikian juga sesiapa yang memutar belitkan atau melakukan ta'wilan-ta'wilan terhadap ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyesuaikannya dengankemahuan atau fikirannya sendiri maka nyatalah imannya tidak sempurna. 
Oleh itu, jika ada yang terdorong berbuat demikian, maka segeralah rujuk kejalan yang benar,  semoga ia selamat di dunia dan di akhirat.
Sumber: 
http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*