Sebenar-benar Perkataan dan Sebaik-baik Jalan Pimpinan Siri 3

Keempat - Perkara-perkara Baharu yang diada-adakan dalam Agama: 
Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.
Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar danbalasan yang seburuk-buruknya.
Kelima - Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Mukmin:
Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.
Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama,  yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya,  segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.
Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.
Hadis Kedua

2- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود)

2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata:  "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalammasa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis,  kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "
(Abu Daud)
Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:
(1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda. 
(2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.
(3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar. 
(4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah anggapan yang tidak berasas.
Sumber: http://www.islam.gov.my





Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*