Percaya Kepada Allah Siri 2


AKSIOLOGI DARIPADA AL-ASMA' - AL-HUSNA

Tauhid pada fahaman menjadikan insan yang yakin kepada tauhid itu mendapat "peta" pembangungan peribadinya pada “Diri Tuhan Sendiri Dengan Sifat-SifatNya Yang Maha Sempurna dan Nama-NamaNya Yang Maha Indah” (al-Kamalat wa’l-Asma’ al-Husna). Maksudnya, sebagaimana yang dihuraikan antaranya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam hubungan dengan hadith Tirmidi yang bermaksud: “Tuhanmu mempunyai sembilan puluh sembilan Nama, maka sesiapa yang membilangnya ia masyuk ke dalam Syurga”. Maksudnya, antaranya, dihuraikan bahawa hendaklah insan yang beriman itu menjadikan peribadinya terbentuk mengikut pengajaran yang boleh didapati daripada maksud nama-nama Tuhannya.

Misalnya kalau Allah bersifat dengan sifat Kasihan Belas - dengan NamaNya al-Rahim - maka si mukmin sebagai hamba Tuhannya hendaklah bersifat dengan sifat kasihan belas pada paras manusiawinya. Dengan itu maka ia “hampir” kepada Tuhannya melalui sifat itu. Dengan itu ianya lebih hampir kepada kesempurnaannya sebagai manusia yang beriman. Kalau Tuhan bernama al-Malik - Raja dengan sifat-sifatNya sesuai dengan Nama “al-Malik” itu, maka hendaklah si hamba membentuk peribadi sesuai dengan kedudukan sebagai ”raja” yang menguasai dirinya supaya taat kepada Tuhan dan menjalankan KehendakNya, jangan membiarkan dirinya menjadi rendah dan berkhidmat kepada Setan. Kalau Allah bernama al-‘Alim - Yang Maha Mengetahui - maka manusia yang beriman hendaklah membentuk dirinya menjadi orang yang berilmu, yang mengenal Tuhannya, ajaran Tuhannya, dan mengetahui ilmu-ilmu lain dalam konteks ketauhidan Tuhannya serta mengetahui ilmu-ilmu untuk menjadikan dirinya dan hidupnya bermaruah dalam dunia ini. Dengan itu jadilah ianya hampir kepada Tuhannya melalui sifatnya berilmu itu.Kalau dikiaskan kepada bangsa, maka bangsa itu bangsa yang berilmu yang martabatnya mulia kerana ilmunya. Di sini keimanan kepada Tauhid membawa implikasi dalam bidang epistemologi atau faham ilmu dan aksiologi atau faham nilai yang sangat diperlukan kejelasannya.
Di sini kita lihat bagaimana kepentingan ilmu diberikan perhatian yang sangat pokok oleh para ulama Islam, seperti Imam al-Ghazali rd dan Ibn Khaldun rh antara yang sekian ramai itu. Dan Ibn Khaldun rh menghendaki supaya ahli ilmu itu mencapai kemahiran yang memuncak dalam bidang ilmunya sampai menjadi sebagai sepertri tabiat yang kedua bagi dirinya, seolah-olah seperti terbang burung di angkasa dan bernang ikan dalam air. Kata-kata bandingan itu bukan dari Ibn Khaldun tetapi dari penulis ini. Beliau menggunakan istilah “malakah” untuk mengungkapkan kemahiran tertinggi dalam ilmu itu.
Sebab sedemikian pentingnya ilmu ini maka Imam al-Ghazali rd menghuraikan bagaimana ahli ilmu yang berkhidmat dengan baik dalam pengembangan ilmunya berdamping diri dengan Tuhan - bertaqarrub- melalui kegiatannya itu; demikian pula pelajar yang mempalajari ilmu yang berguna - ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu umum kerana Tuhan dan kerana berkhidmat kepada umat dalam fardhu kifayah - bertaqarrub kepada Tuhan dalam kegiatan pembelajarannya.
Selain dari itu beliau menghuraikan bagaimana dalam konteks tauhid semuanya berkhidmat kepada Tuhan, mulai daripada ahli ibadat semata (‘abid), sampai kepada pengajar ilmu, penuntut ilmu, petugas menjaga keluarga (muhtarif), peribadi yang berkhidmat untuk masyarakat (walin), dan ahli tauhid taraf tertinggi yang tenggelam dalam pengalaman tauhidnya yang memuncak (muwahhid) semuanya berfungsi dalam menjayakan tauhid dalam hidupnya masing-masing - mulai dari orang biasa sampai kepada petugas masyarakat dan penjaga keluarga juga ahli rohaniah yang tertinmggi sekali dalam umat.Dalam konteks masyarakat moden kitra boleh kiaskan mereka yang terlibat di dalamnya dengan tugas-tugas mereka masing-masing.
Kalau Tuhan bernama dengan nama as-Sattar - Yang menutup aib hambanya, kemudian di akhirat bila ia beruntung Ia ampunkan aib itu- maka hendaklah si mukmin itu menutup aib jirannya dan kenalannya supaya dengan itu aib dirinya tidak di"buka" oleh Tuhan di hadapan sekalian makhluk di Akhirat nanti. Allahumma salimna.
Kalau Tuhan bernama al-Mutakabbir - Yang membesarkan DiriNya, Yang Takburr, kerana Ia berhak dengan perbuatan demikian - maka hendaklah si mukmin berendah diri kepada Tuhannya dan kepada sekelian mukminin, tetapi bertakabur dengan Setan supaya dengan itu ia tidak membiarkan dirinya menjadi “khadam” kepada Setan, yang meruntuhkan kemuliaan dirinya, sampai dirinya akan menjadi “yang sehina-hinanya”.
Dengan ini si hamba mempunyai sifat kemuliaan diri atau harga diri yang sebaiknya sebagai khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya.
Bila Tuhan bernama dengan Nama an-Nafi’ - Yang Memberi Menfaat kepada sekalian akhlukNya - maka si mukmin hendaklah membentuk peribadi sebagai orang yang mendatangkan kemanafaatan kepada orang lain, bukan sebaliknya. Ini jelas pula daripada hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Manusia yang sebaik-baiknya ialah orang yang paling mendatangkan faedah kepada manusia".
Kalau Allah bernama dengan Nama al-Muhaimin - Yang Menjaga - maka para hamba hendaklah pada paras manusawinya menjadi penjaga sekalian yang mesti dijaga dirinya, keluarganya, bangsanya, umatnya, agamanya, demikian seterusnya dan janganlah ia menjadi perosak. Demikianlah apa yang disebut sebagai “bahagian hamba” - hazz al-‘abd - oleh pengarang “Tafsir al-Jamal” dalam hubungan dengan Nama-Nama Allah yang menjadi penentu dalam hidupnya dari segi metafisikanya, faham alamnya, aksiologi atau faham nilainya, epistemologi atau faham ilmunya.

TAUHID DALAM AMALAN

Bila kita menjurus kepada amalan, maka tauhid menjadikan manusia itu menunaikan ibadatnya, seperti sembahyangnya - sebab itu pengabdian kemuncak, terlambang dengan hakikat ianya dikurniakan waktu mi’raj Rasul s.a.w. - puasanya, zakatnya, hajinya, nazarnya, kafarahnya, membaca Qur’an, wirid dan zikirnya, do’anya, bahkan, sebagaimana yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali rd dalam "Ihya’"nya, “Hendaklah semua gerak-geri hidup kamu dan diam kamu menjadi ibadat atau penolong kepada ibadat kepada Tuhan,” sampaikan Imam utama ini rd menyatakan bahawa bermainpun biarlah berlaku dalam konteks pengabdian atau ibadat kepada Tuhan!
Tauhid pada amalan menyebabkan manusia berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti bersifat benar, amanah, ikhlas, kasihan belas, bertimbang rasa, bersaudara, berkasih sayang dalam keluarga dan masyarakat, bermaaf-maafan bukan berdendam, pemurah bukan bakhil dalam kebajikan, bukan membazir, bukan melampau dalam berbelanja,berhemat dan cermat, bukan hanya waktu ekonomi gawat sahaja, menjaga perpaduan bukan mengusahakan perpecahan, apa lagi dalam umat menghadapi ancaman, berkerjasama dalam kebajikan, iaitu berkerjasama dalam keluarga, dalam masyarakat, bangsa dan umat, antara rakyat dengan rakyat, antara rakyat dengan pihak penganjur, berkerjasama antara ulama, cendekiawan, para pemimpin, hartawan dan orang awam. Bersifat gigih dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan dan jasa kepada manusia semuanya.
Tauhid menyebabkan berlaku perpaduan dalam keluarga dan timbulnya keluarga bahagia dan perkasa yang membantu dalam membina masyarakat yang beradab, berilmu, dan perkasa dengan amalan-amalan “budaya perkasa” atau “strong culture”. Ini boleh dikaitkan dengan kata-kata terkenal “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’ dan Syara’ bersendikan Kitab” yang melambangkan kesepaduan hidup ketamadunan yang terbimbing oleh wahyu dan ajaran agama dengan dibantu oleh keupayaan dan akal manusiawi.
Tauhid dalam amalan ditimbulkan dalam hidup manusia dengan penuh ketaatan kepada Kehendak Tuhan yang terjelma dalam ketaatan kepada Hukum Syara’Nya dalam ibadatnya, hidup keluarganya, mu’amalahnya, hidup kenegaraannya, budayanya, ilmu pengetahuan dan sainsnya, teknologi dan penyelidikan serta maklumatnya. Ketaatan kepada Tuhan dalam semua perkara inilah merupakan manifestasi tauhid dalam tamadun manusia selain daripada tauhid yang nyata dalam hidup peribadi dan keluarga serta masyarakatnya. Adanya kederhakaan dalam masyarakat manusia - kerana dunia bukan akhirat- adalah kerana kelemahan-kelemahan manusiawi - “human failings” - bukan kerana agamaa bukan praktikal atau “above human”. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an dalam ayat yang bermaksud “Tuhan tidak membebankan diri manusia melainkan setakat apa yang termampu olehnya”, dan dalam konteks yang lain Allah berfirman, maksudnya “Allah tidak membebankan sesuatu diri manusia melainkan daripada apa yang dikurniakan kepadanya (daripada Ni’matNya)”.
Tauhid pada amalan membawa manusia membina hidup ketamadunan mengikut apa yang diajarkan oleh Tuhan dalam budaya ilmunya, siasahnya, ekonominya, hidup kemasyarakatannya, keseniannya dan budayanya, perang dan damainya. Penyelewengan-penyelewengan yang berlaku adalah kerana kelemahan-kelemahan manusiawi dari segi individu dan kelompoknya. Agama datang untuk menyembuhkan manusia dan tamadun daripada “kelemahan-kelemahan manusiawinya” bukannya untuk mengazabkan manusia atau menghalangnya bersuka-suka secara rasional dan menasabah serta sejahtera dalam dunia ini.
Sebab itu dalam sejarah dan realiti kehidupan mengikut kadar yang berbeza-beza tauhid dan prinsipnya terbayang dalam hidup mereka yang beriman dalam keyakinannya kepada tauhid, ibadatnya, hidup akhlaknya, keluarganya, mayarakatnya, dan umatnya. Terbayang hakikat ini dalam sistem ilmunya - hubungan harmonis antara ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu umumnya sebagaimana yang terbayang dalam huraian Ibn Khaldun rh dalam “al-Muqaddimahnya”, dalam persuratan Islam, seni benanya, perancangan bandarnya, serta keharmonian antara alam tabi’I dan alam binaan manusia (“human built environment”).
Al-Marhum Prof Ismail Raji al-Faruqi dalam buku terkenalnya “Tawhid: Its Implications For Thought and Life” berbicara dengan meluasnya aspek-aspek dan implikasi tauhid ini dengan menyebut tentang tauhid sebagai inti pengenalan agama, sebagai intisari Islam, sebagai prinsip sejarah, prinsip metafisika, prinsip etika, susunan sosial, prinsip ummah, prinsip keluarga, prinsip susunan siasah, prinsip susunan ekonomi, prinsip susunan hidup seluruh dunia, serta prinsip estetika.

Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*