Percaya Kepada Allah Siri 3



KESYIRIKAN YANG BERCANGGAH DENGAN TAUHID PADA FAHAMAN

Dilihat dari segi fahamannya, kesyirikan ialah menisbahkan kuasa atau Sifat-sifat Tuhan kepada makhluk-makhluk atau kuasa-kuasa selain daripada Allah Tuhan Yang Sebenarnya.
Kesyirikan bermakna menyembah yang selain daripada Allah atau kuasa-kuasa yang selain daripadanya; atau memuja yang lain selain daripadanya sebagaimana Ianya disembah dan dipuja, atau sebagaimana IaNya dimuliakan dan disanjungi. Ini disebutkan sebagai syirik yang besar dan nyata (syirik akbar atau syirik jaliy). Syirik ini kalau orang yang berkenaan tidak bertaubat daripadanya, ia akan menyebabkan azab yang berkekalan. Nau’udhu billahi min dhalik.

Syirik yang satu lagi ialah syirik kecil atau syirik yang tersembunyi (syirik asghar atau syirik khafy). Syirik kecil ialah syirik dalam erti misalnya melakukan kebaikan kerana lain daripada berniat mencari keredhaan Tuhan, seperti seseorang melakukan ibadat kerana hendak mencari pengaruh; atau memberi sedekah dengan niat supaya disanjung dan diterima sebagai peribadi yang mempunyai keutamaan; demikian seterusnya; itu syirik kecil atau syirik tersembunyi yang membatalkan pahala amalkan dan kebajikan; ianya bukan menyebabkan kekal dalam azab di Akhirat; bagaimanapun ia menyebabkan amalan menjadi sia-sia tanpa pahala, bahkan menyebabkan azab sesuai dengan keadaan berat atau ringannya kesalahan orang yang berkenaan.
Dalam hubungan dengan syirik yang sedemikian Allah menyoal dalam al-Qur’an dalam ayat yang bermaksud: "Adakah kamu melihat orang yang menjadikan keinginan nafsunya sendiri (“hawahu”) sebagai tuhan?"
(Surah al-Furqan: Ayat 43).
Adapun amalan duniawi, seperti pertukangan atau sesuatu kemahiran yang dimiliki, bila seseorang itu melakukan usahanya dengan baik dan bahkan cemerlang supaya amalannya diberikan nilaian dan prestasi yang baik, dengan itu ianya menjadi popular, dengan itu ia mendapat rezeki yang halal, itu tidak termasuk ke dalam perkara keji yang disebut di atas. Bahkan orang yang berkenaan, kalau ia orang yang beriman, boleh memasang niat bahawa ia sedang melakukan kerja untuk menguatkan ekonomi umat, untuk memberi kekuatan kepadanya, sebagaimana yang dianjurkan oleh Ibn al-Hajj rh dalam kitabnya yang terkenal “al-Madkhal” itu. Bahkan ini boleh termasuk ke dalam maksud hadith nabi yang bererti: "Sesiapa yang menuntut dunia yang halal kerana hendak mengelak dirinya daripada meminta-minta dari orang lain, kerana memenuhkan keperluan keluarganya, dan kerana kasihan belas kepada jirannya (dan ia membantu mereka dengan hartanya itu), maka ia datang ke Ahirat pada Hari Kiamat dengan wajahnya gemilang seperti bulan pernama empat belas hari bulan".
Seorang ahli sains yang membuat penyelidikan membina senjata yang ampuh yang boleh mempertahankan bangsanya daripada diceroboh oleh pihak musuh, dengan itu ia menjaga agamanya dan bangsanya serta negaranya, atau ia boleh memberi kekuatan kepada saudaranya Muslimin dalam negeri lain supaya tidak dianiayai oleh pihak lain, maka itu adalah perbuatan yang paling bermakna dalam khidmat kepada umat. Boleh diingatkan pada zaman klasik bagaimana al-Baghdadi rh menyebut bahawa satu daripada golongan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang berjasa kepada umat yang menentukan kedudukan umat ialah orang-orang yang menjaga sempadan negeri umat Islam supaya tidak diceroboh oleh musuh (“al-murabitun”). Maka maksudnya termasuklah golongan yang menjayakan fungsi demikian dengan mengadakan senjata yang berkesan untuk tujuan itu. Dengan itu maka terlaksanalah juga suruhan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
"Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi para musuh dengan pelbagai jenis kekuatan"
(Surah al-Anfal: Ayat 61)
sesuai dengan keadaan dan zaman berkenaan; kalau pada zaman kita ini ianya merujuk kepada kekuatan senjata yang sesuai dengannya.
Dan tidaklah boleh dikatakan syirik orang yang mempertahankan negara itu, kecualilah ia menganggap negera itu seperti Tuhan baginya! Dijauhkan Allah dari yang demikian itu!

SYIRIK DALAM PERBUATAN

Ringkasnya syirik besar dan nyata dalam perbuatan merujuk kepada perbuatan memuja apa-apa selain dari Allah sebagaimana memuja Allah; termasuk ke dalamnya memuja makhluk-makhluk halus atau manusia melebihi batasan; adapun sifat kasihkan seseorang kerana ia melakukan kebaikan kepada orang ramai, itu adalah perkara yang baik yang termasuk ke dalam maksud hadith Nabi saw yang bererti: "Sesiapa yang tidak mengenang budi kepada manusia (yang melakukan kebaikan kepadanya), maka orang itu tidak sempurna dalam perbuatannya bersyukur kepada Allah".
Termasuk amalan yang mesti dielakkan ialah sihir sebab ia memusnahkan keimanan manusia dan boleh memnbawa kepada kesyirikan. Dalam media amalan sihir dilaporkan membawa kepada pembunuhan selain daripada akibat-akibat lain yang membahayakan serta memusnahkan hubungan baik ahli masyarakat.
Syirik kecil dan tersembunyi ialah sifat ria, iaitu melakukan kebaikan dalam agama kerana mengharapkan perhatian dan sanjungan manusia; itu membatalkan amalan dan kebajikan seseorang; adapun perbuatan yang bersifat duniawi, seperti pertukangan dan kemahiran maka itu tidak mengapa, walaupun yang lebih baiknya ialah seseorang itu menjalankan profesinya dan kemahirannya dengan niat menguatkan umat dalam rangka menjalankan fardhu kifayahnya, seperti yang tersebut dalam kitab Imam al-Ghazali rd atau kitab Ibn al-Hajj rh.
Dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah bertawassul adalah harus, samaada pada orang yang hidup atau orang yang sudah meninggal dunia. Tidak perlu dijadikan masalah bila ada setengah kalangan yang menganggap itu kesyirikan; sebab yang diminta ialah dari Allah; orang yang mulia itu disebut kedudukannya yang mulia di sisi Allah. Dengan itu maka permohonan itu cepat makbulnya.
Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi Ahlis-Sunnah, dan berdo’a di makam orang itu, dengan barakahnya, maka do’a itu boleh dikabulkan dengan segera. Itupun amalan yang bukan dilarang dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, walaupun ada pihak-pihak yang melarangnya seperti Muhammad bin ‘Abdul Wahhab dan Ibn Taimiyyah. Itu adalah pandangan mereka, yang berlawanan dengan pandangan jumhur. Allahumma sallimna wal-Muslimin. Mereka yang mahu menganggap pandangan mereka berdua itu lebih utama dari jumhur, itu adalah pilihan masing-masing. Hendaklah diamalkan adab dalam berbeza pendapat dalkam perkara-perkara seperti ini dan jangan dijadikan isu sampai sesuatu puak melemparkan tuduhan bid’ah dan sesat kepada pihak lain. Apa lagi kalau sampai timbul sikap menghalalkan darah dan berperang sama Islam, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab yang berperang menjatuhkan Turki ‘Uthmaniah yang menyebabkan sampai sekarang umat tidak mempunyai khilafah seperti anak-anak tanpa bapa. Dan pihak musuh cenderung untuk membiarkan pemikiran seperti ini supaya Islam hancur dari dalam, asalkan pihak mereka pula tidak terjejas. Lain halnya kalau sesuatu perkara itu sudah diijma’kan salahnya, maka perlulah itu dinyatakan dengan terang.
Demikian pula tidak perlu dikatakan syirik kepada mereka yang mengadakan aturan-aturan duniawi dalam mana-mana bidang kegiatan seperti komunikasi, pengangkutan, pertanian, dan yang sepertinya yang berupa aturan-aturan profesi yang menjayakan bidang yang berkenaan sesuai dengan tabiat kemahiran demikian itu. Mereka yang mengadakan aturan-aturan itu demi untuk menjaga kejayaan bidang-bidang itu – asalkan ianya tidak berlawanan dengan kehendak agama yang mahu menjaga kemaslahatan nyawa, agama, maruah, harta, keturunan manusia, keamanan dan apa juga yang diperlukan - bukannya boleh ditafsirkan sebagai “merampas” Hakimiyyatu’Llah atau Kuasa membentuk Aturan yang ada pada Allah - oleh itu perbuatan mereka itu berupa kesyirikan. Kita perlu mengelak diri daripada kecenderungan Khawarij yang sedemikian itu yang telahpun mengakibatkan kegetiran dalam sejarah da’wah di setengah negara di Asia Barat. Perkara sedemikian tidak perlu kita mengulanginya di tempat lain.
Perkara yang seperti ini disentuh dengan baiknya oleh Hasan al-Hudaibi rh dalam bukunya yang terkenal itu iaitu “Du’atun la Qudah” (Pendakwah Bukan Penghukum).
Perbincangan tentang kesyirikan tidaklah perlu terlanjur sampai timbul dakwaan-dakwaan dan tuduhan-tuduhan, antaranya seperti:
  1. syirik kecil itu sebahagian yang tidak terpisah daripada syirik besar, yang membawa kepada menghalalkan darah orang yang terlibat di dalamnya;
  2. atau tuduhan bahawa kefahaman ulama Ahlis-Sunnah tentang tauhid umumnya salah;
  3. atau Abu Jahal lebih mengetahui tentang la ilaha illa’Llah daripada ulama Islam;
  4. atau tuduhan bahawa kesyirikan di muka bumi bermula dengan perbuatan ahli ilmu dan agama, kerana mereka cinta kepada para wali;
  5. atau tuduhan bahawa para kufar yang mengetahui tentang kekufuran mereka adalah lebih baik terbimbing daripada orang-orang yang beriman -inna’l-kuffara ‘lladhina ya’rifuna kufran ahda sabilan minal-mu’minin
  6. atau tuduhan “Keadaan sedemikian merusutnya sehingga sampai, di kalangan kebanyakan manusia, menyembah orang-orang agama adalah amalan yang paling baik, disebutkan sebagai kewalian, manakala menyembah ulama fikah dikatakan sebagai ‘pengetahuan dan ilmu fikah’. Kemudian keadaan menjadi merusut lagi sampai orang-orang yang tidak auliya’ pun disembah selain dari Allah, dan pada darjah kedua pula, mereka yang jahil”
  7. Juga tuduhan yang menyatakan bahawa sya’ir Burdah oleh al-Busiri sebagai sesuatu yang berupa kesyirikan (kerana memuji nabi s.a.w. -p).
  8. atau tuduhan bahawa panggilan “qadil-qudah” - kadhi dari sekelian kadhi - sama dengan “Syahin-syah- raja sekelian raja” (yang membawa kepada menghukumkan orang yang berkenaan kafir)
  9. atau sampai membawa kepada fahaman bahawa Allah s.w.t. mempunyai Dua Tangan, tangan kanan memegang langit dan yang satu lagi memegang bumi.”
Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya kita melihat bahawa tauhid yang berasaskan kenyataan:
لا اله الا الله
atau kenyataan:
شهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمدا رسول الله
“tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah” atau “aku menyaksikan bahawa tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah” itu membawa maksud dan keyakinan bahawa hakikat yang sebenar-benarnya hanya satu sahaja, iaitu Allah, dan Ia Tuhan Yang Maha Esa, yang kita sembah. Keredhaan Dia sahaja terakhirnya yang kita cari; KehendakNya sahaja yang kita ikut; hakikat ini mendatangkan kesan pada faham alam kita, faham ilmu, dan faham nilai. Ini yang menentukan konsep kita tentang kehidupan, budaya, tamadun, ilmu, dan nilai. Inilah yang menentukan ibadat, hidup rohani, akhlak, peraturan hidup, serta perjuangan dalam kehidupan individu, dan kolektif serta ketamadunan kita. Sepatutnya inilah hakikat dan prinsip yang memartabatkan dan memuliakan kita dari dunia sampai ke alam yang kekal abadi. Inilah yang menyatupadukan serta menguatkan kita dalam percaturan hidup, bukan sebaliknya. Kesyirikan ialah mempelbagaikan Tuhan yang berupa dosa dan jenayah terbesar, diikuti oleh syirik kecil memuja nafsu dan keinginan sendiri yang membawa kepada penyelewengan hidup dengan pelbagai perkara negatif dalam hidup individu, kolektif serta budaya dan ketamadunan. Pengembalian semula kepada kefahaman yang tepat dan meluas tentang tauhid serta penghayatannya yang menyeluruh dengan implikasi-implikasinya, dengan penolakan syirik dalam fahaman dan amalan sejauh-jauhnya, dalam rangka fahaman dan amalan hidup Sunni, inilah yang menjamin kejayaan dan kebahagiaan sesungguhnya; dan inilah yang menentukan nasib sebenarnya bagi diri dan umat kita.

Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*