Percaya Kepada Allah Siri 1

Tauhid berdasarkan kepada “la ilaha illa’ Llah, Muhammadur-Rasulullah”: “Tidak ada tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah”. Atau “asyhadu an la ilaha illa’Llah, wa asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”:
“Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah”. Ianya diwajibkan dalam ayat, antaranya, yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah …".
(Surah Muhammad: Ayat 19).
Penyaksian itu adalah hasil daripada keyakinan iman tanpa syak dan ragu tentang hakikat keTuhanan yang Maha Esa, yang merupakan paksi bagi segalanya. Keyakinan ini datang daripada ilmu dan juga kesedaran batin orang yang berkenaan yang disebutkan sebagai ilmul-yakin, atau ‘ainul-yaqin atau haqqul-yaqin. Ilmul-yaqin datang daripada tahap keyakinan yang timbul daripada ilmu berkenaan dengan kebenaran tauhid hasil daripada pengetahuannya, dengan berdasarkan bokti-bokti, samaada yang berifat nakli atau akli atau intelektuil. ‘Ainul-yaqin timbul daripada tahap tertentu dalam kesedaran batin berkenaan dengan hakikat tauhid. Haqqul-yaqin merujuk kepada pengenalan hakikat tauhid berdasarkan kepada “penyaksian batin” - musyahadah - tentang kebenaran itu yang tidak meninggalkan apa-apa keraguan lagi.
Keimanan tentang ketauhidan ini berkembang menjadi keimanan terhadap “rukun-rukun iman” yang lain- keimanan tentang para malaikat dengan tugas-tugasnya, para rasul a.s.s. dengan tugas-tugas mereka, kitab samawi dengan ajaran-ajarannya, terakhir ialah al-Qur’anul-Karim, tentang akhirat dan akhirnya qadha’ dan qadar.Semuanya dihuraikan oleh para ulama Ahlis-Sunnah dalam teks-teks usulud-din mereka, Allah memberi rahmat kepada mereka.
Keimanan terhadap Allah dan mentauhidkannya dengan huraian-huraian tentang sifat-sifatNya yang tidak terkira, dan kemudian dibicarakan sebagai kunci kepada pengenalanNya dua puluh sifat atau tiga belas, itu berdasarkan dalil-dalil akal atau dalil nakal, yang kita tidak bicarakan secara terperinci di sini. Bagaimanapun memadailah kalau kita sebutkan sifat-sifat itu - untuk memperbaharukan ingatan kita tentangnya - sebagai wujud, qidam atau sediakala, baqa’ atau kekal, menyalahi sekelian makhluk, berdiri sendiri, esa, hayat atau hidup, ilmu, qudrat atau kuasa, kehendak, mendengar, melihat, dan berkata-kata yang semuanya dirumuskan ulama berdasarkan Qur’an dan Sunnah, bukan sebagaimana dituduh oleh setengah pihak,daripada falsafah Yunani Purba; kemudian ditambah dengan perbincangan tentang sifat-sifat hal keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata.
Perbincangan tentang mentauhidkan Allah juga dilakukan dengan membicarakan nama-namaNya yang sembilan puluh sembilan itu dengan menyebut nama-namaNya: Allah, ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik, al-Quddus, as-Salam, al-Mu’min, al-Muhaimin, al-‘Aziz, al-Jabbar, al-Mutakabbir, dan seterusnya dengan huraian-huraian maknanya sebagaimana yang ada misalnya dalam “Tafsir al-Jamal” dalam huraiannya berkenaan dengan maksud ayat yang bererti: "Dan bagi Allah Sifat-Sifat Yang Paling Indah, maka kamu serulah Ia dengan menyebutnya …".
Mentauhidkan Allah dan beriman kepada rukun-rukun iman yang lainnya sebagai natijah daripada beriman kepada ketauhidan Allah itu menimbulkan kesan dalam kehidupan manusia yang disebut dalam setengah hadith sebagai “cawangan-cawangan iman” (‘shu’ab al-iman’).Sebagai contoh dalam “Fathul-Bari” dihuraikan hadith:
الايمان بضع وستون شعبة والحياء شعبة من الايمان
Yang bermaksud: “Iman ada enam puluh lebih cawangannya, dan malu bertempat adalah satu cawangan daripada keimanan”.
Dalam hadith sahih riwayat Bukhari yang lain dinyatakan keimanan itu lebih daripada tujuh puluh cawangan, dan yang tertingginya ialah mengucap “tiada tuhan melainkan Allah”, yang paling rendah sekali ialah membuang duri atau sesuatu yang menyakitkan dari jalan.
Dalam “Fahul-Bari” dalam memberi huraian berkenaan dengan “cawangan-cawangan” iman hasil daripada tauhid dan keyakikan iman, pengarangnya membahagikan kesan-kesan itu kepada beberapa bahagian seperti “amalan-amalan hati”. Dinyatakannya bahawa amalan-amalan hati terdiri daripada: keimanan terhadap Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, QadarNya, Hari Akhirat. Alam Kubur, Bangkit sesudah mati, Berhimpun di Akhirat, Hitungan amal, Neraca Timbangan Amal, Titian Sirat, Syurga, Neraka; kasih dan benci kerana Allah, kasihkan rasul, iktikad tentang keagungan Rasul dan kemuliannya, berselawat terhadapnya, mengikut sunnahnya, mengamallkan sifat ikhlas dalam amalan, tidak bersikap riya dalam amalan, meninggalkan kemunafikan, bertaubat, takut kepada Allah, berharap kepadaNya, bersyukur kepadaNya, menunaikan janji dan amanah semuanya, sabar, redha dengan ketetapan dan hukumNya, bertawakkal kepadaNya, bersikap dengan sifat kasih sayang (rahmah), tawadhu’, memuliakan orang tua, kasihkan orang muda,tidak takabur, tidak ‘ujub, tidak hasad dengki, tidak berdendam, tidak marah bukan pada tempatnya.
“Amalan lidah” terdiri daripada: berlafaz dengan kalimah tauhid, membaca Qur’an, mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu, berdo’a, berzikir mengingat dan menyebut nama-nama Allah, beristighfar,dan menjauhi perbuatan dan percakapan yang sia-sia (ijtinab al-laghw).
“Amalan badan” disebutkan:berada dalam keadaan suci bersih dari segi lahir dan pada hukumnya, menjauhi najis-najis, menutup aurat, melakukan sembahyang yang wajib dan sunat, juga menunaikan zakat, membebaskan hamba abdi (boleh dikiaskan dengan keadaan moden dengan “hamba-hamba abdi ekonomi” dan sebagainya), mengamalkan sifat pemurah (al-jud), memberi makan kepada mereka yang memerlukannya, memuliakan para dhif, melakukan puasa yang wajib dan sunatnya, demikian pula menunaikan haji, dan umrahnya, melakukan tawaf, dan beriktikaf, berusaha untuk menghayati malam lailatul-qadar, berpindah untuk menyelamatkan agama bila itu dituntut oleh agama, berhijrah dari negeri syirik (dengan syarat-syaratnya), menunaikan nazar, bersungguh-sunguh menjaga iman dengan teguhnya, menunaikan kaffarah, mengawal diri daripada kejahatan dengan berkahwin, melaksanakan hak-hak keluarga, mentaati para ketua dan bersikap lemah lembut kepada para hamba (termasuk orang-orang bawahan).
Berkenaan dengan kehidupan dan pergaulan dengan orang ramai: mengikut jama’ah Muslimin, mentaati waliyul-amri, mendamaikan mereka yang berkelahi, berperang melawan mereka yang memberontak dan golongan Khawarij (yang menentang waliyul-amri), bertolong-bantu dalam melakukan kebaikan, menyuruh perkara-perkara yang baik dan melarang perkara-perkara yang mungkar, mengamalkan aturan-aturan jenayah berat mengikut Islam, melakukan jihad, termasuk ke dalamnya menjaga sempadan untuk menyelamatkannya daripada para seteru, menunaikan amanah-amanah, termasuk menunaikan “khumus” (dari rampasan perang), memberi orang berhutang, dan membayar hutang, memuliakan tamu, bergaul dengan akhlak yang baik (‘husn al-mu’amalah’), termasuk ke dalamnya menghimpunkan harta dari punca-punca yang halal, membelanjakan harta pada tempatnya yang hak, tidak bersikap membazir, dan tidak melampau-lampau dalam perbelanjaan (termasuk kalau sekarang “conspicuous consumerism”: berbelanja kerana menunjuk-nunjuk bukan kerana keperluan yang menasabah), menjawab orang memberi salam, mendoakan orang yang bersin, menahan diri daripada menyakiti orang lain, menjauhkan diri daripada kesia-siaan, membuang duri (atau apa-apa yang memudaratkan) dari jalan.
Beliau menyatakan mungkin cawangannya itu tujuh puluh sembilan sifat dengan mengambil kira menceraikan setengah daripada apa yang digandingkan dan tidak diasingkan.
Amalan-amalan, sifat-sifat serta sikap yang timbul itu semuanya daripada ketauhidan kepada Allah yang ada dalam diri manusia. Kesannya jelas kelihatan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat serta negara dan umat bila ketauhidan itu mantap.

KESAN TAUHID DALAM FAHAMAN ORANG YANG BERIMAN


Kalau dilihat dari segi yang berbeza, boleh disebutkan bahawa implikasi tauhid ke atas manusia dan kehidupannya boleh dilihat dari beberapa segi, antaranya ialah:
Dari segi fahamannya tauhid memaksudkan bahawa yang diyakini sebagai kebenaran tanpa tara ialah Keesaan Allah; tidak ada syak dan ragu lagi padanya. Buktinya samaada yang bersifat akli atau nakli menjadi dalil tentang kebenarannya; dalil dari pengalaman dan kesedaran batin itu merupakan bukti yang paling kuat untuk diri seseorang berpegang kepada kebenarannya. Itulah maksud tertinggi dari ayat yang bererti:
"Ini adalah jalanku; aku menyeru manusia kepada Allah berdasarkan kepada 'basirah' (dalil yang nyata) ataupun pemandangan matahati, aku dan mereka yang mengikutku".
(Surah Yusuf: Ayat 108).
Ini memberi paksi kepada manusia, peribadi, dan hidup serta tamadunnya. Ini boleh dimisalkan sebagai adanya tempat duduki yang tetap dan teguh, tidak kucar kacir, bukan tidak stabil.
Sebagai contoh kita boleh sebutkan bagaimana kita ini tetap atas kerusi, kerusi tetap demikian kerana ada lantai bangunan, bangunan itu tetap atas asasnya, asas bangunan itu tetap kerana ada bumi yang tetap, bumi tetap kerana ianya berada dalam sistem solar yang dengan gravitinya dan lain-lainnya menyebabkan ia tetap.Demikianlah manusia merasa tetap teguh dengan keyakinannya kepada tauhid; dengannya ia merasa tetap ada tempat berpijak bagi jiwa, hati dan akalnya.
Tauhid pada fahaman juga memaksudkan bahawa yang disembah dengan sebenarnya hanyalah Allah Yang Esa sahaja, tidak ada yang lain lagi. Penyembahan dalam erti pengabdian - ‘ubudiyyah - hanyalah untuk Allah sebagaimana yangg dinyatakan dalam al-Fatihah, “Engkaulah sahaja Yang kami sembah, dan kepada Engkalah sahaja kami meminta pertolongan”. Hakikat ini ternyata dalam ayat yang bermaksud: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu".
Fahaman tauhid yang mendalam menyebabkan tidak ada lagi kuasa-kuasa lain yang dinisbahkan Kuasa Tuhan padanya; hilang takhyul, fahaman syirik, dan sihir, hilang amalan bernujum yang disalahkan Syara’, dan hilang pemujaan yang dilarang Syara’ terhadap jin-jin dan lain-lainnya. Termasuk hilang pemujaan kepada perkara-perkara maknawi seperti akal, kecerdasan manusia, atau mana-mana aspek kepandaian atau ilmu manusia.Semuanya natijah daripada keyakinan terhadap KeEsaan Allah.
Tauhid pada fahaman ini memberi kepada insan matlamat hidup yang terakhir yang memberi makna kepada segala kegiatan. Manusia yang beriman kepada tauhid bertugas dan berusaha dalam konteks mencari keredhaan Allah di dunia ini, yang membawa kepada kebahagiaan yang kekal abadi. Ini jelas dalam pembacaan doa si mukmin selepas daripada takbir sembahyang, iaitu do’a yang bermaksud: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku (termasuk perjuanganku, profesiku, perlaksanaan tugasku) adalah bagi Allah Tuhan Yang mentadbir sekelian alam". Dengan ini tidak ada kekosongan atau kehilangan makna - “loss of meaning” - dalam hidupnya. Semuanya mendapat makna dalam konteks mencari keredhaan Tuhan. Dalam konteks seperti inilah Nabi s.a.w. menyatakan keheranannya tentang hidup si mukmin sampaikan bila kakinya terkena duripun ada mempunyai makna. Penyakit “kehilangan makna” tidak akan berlaku atas si mukmin yang berkesan keimanannya dalam membentuk jiwa dan kablbunya.
Keimanan tentang tauhid menjadikan si mukmin tidak putus asa dalam hidupnya walau bagaimamanapun teruknya cabaran yang dihadapi dan walau bagaimana negatifnya suasana yang dihadapi, sehinggakan kalau dilihat dari segi perkiraan duniawi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan sekalipun, ia tidak berputus asa. Inilah antaranya yang dimaksudkan oleh ayat Qur’an yang bermaksud
“Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir”
(Surah Yusuf: Ayat 87).
Di sinilah tauhid memberi asas kepada aksiologi si mukmin, sehingga sistem nilainya lengkap dan tinggi.


Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*