Pengertian Zakat


Keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.

PENGERTIAN ZAKAT DARI SUDUT SYARAK

Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.
Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t:
Yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah at-Taubah, Ayat: 103).
Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman:
(Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.‏

HUKUM ZAKAT

Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir.
Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci al-Quran di antaranya firman Allah:
Yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah, Ayat: 43)
dan firman Allah:
Yang bermaksud: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum.
Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(Surah al-Ma'aarij, Ayat: 24, 25).‏

HIKMAT DISYARIATKAN ZAKAT DAN KEDUDUKANNYA:

Di antara hikmat disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain dari itu ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan di dalam sistem ekonomi Islam dan penjamin ke arah kestabilan dan kesinambungannya.
Zakat ini juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat.
(Surah al-A'raaf, Ayat: 156).
Begitu juga ia merupakan syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.
(Surah al-Hajj, Ayat: 40, 41).
Di samping itu zakat juga merupakan syarat persaudaraan di dalam agama Islam sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama.
(Surah at-Taubah, Ayat: 11).
Zakat juga dianggap sebagai ciri-ciri masyarakat mukmin sebagaimana firman Allah:
Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah, Ayat: 71).
Zakat turut digelarkan sebagai salah satu sifat orang yang mengimarahkan rumah Allah (masjid) sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.
(Surah at-Taubah, Ayat: 18).
Malah zakat ini jugalah yang dianggap sebagai ciri-ciri mukmin yang berhak mewarisi syurga firdaus sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).
(Surah al-Mu'minuun, Ayat: 4).
Manakala hadis nabi yang menyebut tentang kedudukan zakat pula ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawa tidak ada Tuhan selain daripada Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad adalah Rasulullah, mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk sentiasa mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat kepada setiap orang umat Islam.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Islam dibina di atas lima perkara, iaitu menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan Haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan dan berpuasa pada bulan Ramadan.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim). 

Kongsikan artikel ini :)
Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*