Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat dan Ancamannya

Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.
Dalam keadaan ini orang berkenaan hendaklah diajar sehingga dia betul-betul jelas dan dapat mengikutinya dengan baik. Adapun orang yang enggan membayarnya tetapi masih tetap mengakui tentang kewajipan zakat, maka orang yang berkenaan berdosa kerana tindakannya itu walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran) kepadanya.
Jika terdapat suatu golongan masyarakat yang mempunyai kekuatan dan enggan membayar zakat tetapi mereka masih tetap mengakui kewajipan mengeluarkan zakat, maka pemerintah berhak memerangi mereka sehingga mereka membayar zakat masing-masing berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh jemaah ahli hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu ramai dikalangan bangsa Arab yang kufur (murtad).
Lalu Umar r.a berkata:
Bagaimanakah kamu ingin memerangi orang-orang yang murtad kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi orang-orang yang murtad sehingga mereka mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, jika mereka menyatakan pengakuan tersebut, maka jiwa dan hartanya terpelihara daripada aku kecuali apabila orang berkenaan melakukan tindakan yang boleh dijatuhkan hukuman dan perhitungan orang tersebut terserahlah kepada Allah s.w.t.
Lantas Abu Bakar r.a menjawab:
Demi Allah, aku akan terus memerangi orang yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah kewajipan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan membayar walaupun seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya satu tahun sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka kerananya.
Kemudian Umar r.a berkata:
Demi Allah sesungguhnya Allah telah menerangi dada Abu Bakar untuk memerangi mereka dan aku juga yakin bahawa tindakan tersebut adalah benar.

Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka.
(Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda: Tidak seorangpun di kalangan hamba yang tidak membayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti hartanya akan diperlihatkan kepadanya sebagai seekor ular yang sangat besar dan sangat berbisa lalu membelit lehernya. Kemudian Nabi s.a.w membaca kepada kami ayat suci al-Quran yang menegaskan lagi perkara tersebut:
Yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.
(Surah Aali Imran, Ayat: 180).
Hadis Sahih, riwayat Imam Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah serta lafaz hadis juga diambil dari riwayat Ibnu Majah. Dalam sebuah hadis yang lain pula diriwayatkan daripada Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mengutuk (melaknat) orang yang memakan riba, pemberi riba, saksi riba, penulis riba, pelukis tatu, orang meminta supaya dilukis tatu, orang yang enggan membayar zakat, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta.
(Hadis Hasan, riwayat Imam Ahmad dan Nasaie).‏

Syarat-syarat Zakat

Zakat diwajibkan ke atas beberapa jenis harta dengan diletakkan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Syarat-syarat ini dibuat untuk membantu pembayar zakat agar dapat membayar zakat hartanya dengan rela hati sehingga matlamat sebenar zakat disyariatkan akan tercapai.
Syarat-syarat tersebut adalah sebagaimana berikut:
  1. Dimilik dengan sempurna.
  2. Apa yang dimaksudkan dengan dimiliki dengan sempurna ialah pemilik harta tersebut bebas menggunakan harta yang dimiliki olehnya tanpa campur tangan orang lain. Hal ini disyaratkan kerana zakat pada asalnya bermakna memiliki dan diberikan kepada orang yang berhak menerimanya dan keadaan ini tidak dapat dilaksanakan kecuali harta yang dimiliki itu adalah harta milik yang sempurna. Oleh yang demikian tidak dikenakan zakat terhadap harta yang berada diluar kekuasaan pemilik atau harta yang tuannya tiada dan tidak diketahui di mana tempatnya atau tidak mampu untuk mengesan tuannya.
    Telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat: Tidak dikenakan zakat terhadap harta yang diluar kekuasaan pemilik, atau cincin mas kahwin yang belum dibayar kerana wanita tidak dapat menggunakannya, tidak dikenakan zakat terhadap hutang yang tidak dapat dibayar, akan tetapi apabila sudah berada di tangan, barulah ianya wajib dikeluarkan zakat dengan hitungan bayaran satu tahun sahaja walaupun hutang atau mas kahwin tersebut telah berada di tangan orang lain atau suami bertahun-tahun lamanya, begitu juga hutang terhadap orang yang tidak mampu membayarnya.
  3. Perkembangan sebenar atau mengikut taksiran.
  4. Maksudnya ialah harta itu membiak subur secara semulajadi atau taksir. Apa yang dimaksudkan dengan berkembang subur secara semulajadi seumpama harta itu bertambah dengan cara dilahirkan, dikembangkan dan diperniagakan. Apa yang dimaksudkan dengan taksiran pula ialah harta yang kemungkinan nilainya akan bertambah seperti emas, perak dan wang kerana harta seumpama ini boleh bertambah nilainya dengan cara diperniagakan, maka hendaklah ianya dikeluarkan zakat. Adapun aset tetap atau harta yang dimiliki yang tidak berkembang secara semulajadi atau taksiran maka tidak wajib dikeluarkan zakat.
  5. Cukup nisab.
  6. Nisab ialah kadar harta yang telah ditentukan oleh syarak, di mana sesuatu harta itu tidak dikenakan zakat sekiranya tidak sampai kadar yang telah ditentukan. Antara syarat wajib zakat ke atas harta yang diwajibkan zakat ialah sampai nisab.
    Syarat ini dikenakan ke atas wang tunai, emas, perak, barang perniagaan dan haiwan. Sebagaimana yang telah disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tidak wajib zakat ke atas emas kecuali apabila sampai 20 dinar (1 Dinar= 4.25 gram, oleh itu 20 Dinar= 85 gram) apabila telah sampai 20 Dinar maka zakatnya ialah setengah Dinar. Begitulah juga perak tidak dikenakan zakat kecuali apabila sampai 200 Dirham (1 Dirham= 2.975 gram, oleh itu 200 Dirham= 595 gram) di mana zakatnya ialah 5 Dirham. Nisab emas ialah 20 mithqal= 85 gram emas tulin, manakala nisab perak pula ialah 200 Dirham= 595 gram perak tulin.
    Nisab zakat barang perniagaan ialah sama nilainya dengan zakat emas iaitu 85 gram emas tulin, manakala barang-barang zakat yang lain telah ditentukan nisabnya. Termasuk barang yang dikenakan zakat ialah barang yang telah cukup nisab atau lebih, adapun yang kurang dari satu nisab maka ianya tidak dikenakan zakat. Kesempurnaan nisab pula dilihat pada awal dan akhir haul, di mana kekurangan dan kelebihan di antara awal dan akhir haul tidak akan mempengaruhi nisab. Digabungkan faedah atau hasil yang diperolehi dari harta zakat diakhir haul, ini mengikut pandapat mazhab Imam Hanafi dan Maliki di mana cara ini adalah lebih mudah untuk dipraktikkan lantaran itu ianya disepakati oleh Jumhur Fukaha.

Kongsikan artikel ini :)
Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*