Zakat Siri 4


    Nisab Zakat Wang Tunai:
    Harta kekayaan yang ingin dikeluarkan zakat hendaklah mencukupi nisab iaitu kadar minimum yang telah ditetapkan oleh syarak di mana zakat tidak wajib dikeluarkan dari harta yang kurang dari kadar tersebut tetapi jika harta yang dimiliki telah mencukupi kadar tersebut, ia wajib dikeluarkan zakat.
    Nisab emas dan mata wang emas ialah sebanyak 20 misqal iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tulin. (1 misqal = 4.25 gram).

    Sedangkan nisab perak dan mata wang perak pula adalah sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram perak tulin. (1 dirham = 2.975 gram).
    Institusi Penyelidikan Islam (dalam muktamarnya kali kedua) telah menggariskan ketetapan yang berbunyi: (Penaksiran nisab zakat kekayaan mata wang logam (wang syiling), mata wang kertas, bank notes (seperti cek, wang pos dan sebagainya) dan komoditi perniagaan (barang perniagaan) adalah dihitung berdasarkan nilai emas. Setiap harta dari kekayaan tersebut yang telah mencapai kadar nilai 20 misqal emas, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana nilai emas lebih stabil berbanding dengan kekayaan yang lain).
    Untuk mengetahui harga pasaran semasa bagi 1 misqal emas, ia hendaklah dirujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang ini.
    Sesetengah penyelidik ekonomi Islam menggunakan alasan lain di dalam memilih nisab emas sebagai pengukur untuk mentaksirkan nisab zakat wang tunai. Alasan mereka ialah kerana emas merupakan galian yang bernilai tinggi dan sering dijadikan jaminan (walaupun dalam kadar yang kecil) untuk wang kertas yang dikeluarkan oleh sesebuah negara malah berdasarkan nilai emas inilah nilai wang kertas ditaksirkan sehingga emas seolah-olah menjadi mata wang antarabangsa di samping menjadi panduan asas untuk menilai mata wang dunia dan mata wang tersebut juga dirujuk kepadanya walaupun harganya kadang kala mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut perubahan harga pasaran.
    Mengikut pendapat mazhab Hanafi, nilai emas boleh digabungkan dengan nilai perak untuk mencukupi nisab perak yang ada (nilai sahaja bukannya benda). Oleh yang demikian nilai emas yang ada perlu dihitung begitu juga dengan nisbah (kadar) emas tersebut berbanding dengan nisabnya kemudian dihitung pula harga perak yang ada. Apabila nilai kedua-duanya mencukupi nisab, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana pengertian "kaya" telah terbukti dengan memiliki nilai sejumlah nisab. Di samping itu nilai komoditi perniagaan juga boleh digabungkan dengan emas dan perak yang ada untuk mencukupi nisab. Nisab kekayaan wang tunai, mata wang kertas dan wang logam lain (duit syiling) dihitung berdasarkan emas iaitu dengan kadar yang sama dengan nilai 85 gram emas tulin - emas yang masih dalam bentuk ketulan emas (999) - mengikut harga di hari cukup nisab yang mewajibkan zakat di negeri tempat terdapat harta pembayar zakat.
    Adapun bagi emas yang tidak tulin, berat timbangannya hendaklah dikurangkan mengikut kadar berat bahan campurannya yang bukan dari jenis emas.
    Contohnya di dalam emas 18 karat, berat timbangannya hendaklah dikurangkan sebanyak satu perempat dan ia juga berupa enam perdua puluh empat (1/4 = 6/24) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
    Manakala di dalam emas 21 karat berat timbangannya hendaklah dikurangkan sebanyak satu perlapan dan ia berupa tiga perdua puluh empat (3/24 = 1/8) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
    Begitu juga dengan cara penghitungan perak yang tidak tulin. 

    SYARAT-SYARAT DIWAJIBKAN MENGELUAR ZAKAT EMAS, PERAK DAN MATA WANG

    Zakat wang tunai, emas dan perak hanya diwajibkan apabila memenuhi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah dijelaskan.

    KADAR ZAKAT EMAS, PERAK DAN MATA WANG YANG WAJIB DIKELUARKAN

    Kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari emas, perak dan mata wang ialah sebanyak 1/40 (2.5%). 

    Cara Untuk Menghitung Kadar Zakat Emas dan Perak Dalam Bentuk Nilai Mata Wang Tunai:

    Jika pembayar zakat ingin mengeluarkan zakat emas ataupun zakat perak yang diwajibkan kepadanya dengan menggunakan wang tunai, nilai yang wajib dibayar adalah nilai yang diambil dari hasil kiraan zakat yang dibuat terhadap emas dan perak. Contohnya: 25 gram emas (kadar zakat yang wajib dikeluarkan) didarab dengan harga 1 gram emas. Kita anggarkan harganya adalah sebanyak (4 Dinar), setelah itu kita akan dapati hasilnya iaitu nilai zakat yang wajib dikeluarkan dalam bentuk mata wang. Proses pengiraannya begini: Kadar zakat = 25 gram emas x 4 dinar (harga 1 gram) = 100 Dinar.

    ZAKAT PERHIASAN, KEKAYAAN EMAS DAN PERAK

    Perhiasan perempuan yang disediakan hanya untuk penggunaan (pemakaian) peribadi sahaja tidak wajib dikeluarkan zakat selagi ia tidak melebihi kadar pakaian kebiasaan bagi perempuan yang mempunyai kedudukan sosial yang setaraf dengannya. Adapun perhiasan yang lebih dari kadar yang biasa dipakai, ia wajib dikeluarkan zakat kerana langkah tersebut sama seperti (termasuk di dalam pengertian) menyimpan dan mengumpul harta. Begitu juga seseorang wanita wajib mengeluarkan zakat perhiasan yang sudah tidak dipakai lagi disebabkan oleh modelnya yang telah lama atau sebagainya.
    Zakat bagi kedua-dua perhiasan tersebut dihitung berdasarkan berat timbangan emas dan perak yang tulin dan ia tidak dikira dengan kadar harga, tidak dihitung dengan harga yang lebih mahal disebabkan oleh reka bentuk dan buatannya serta tidak dihitung dengan harga batu permata yang diikat bersamanya dan aksesori tambahan yang lain selain dari emas dan perak yang menghiasinya.
    Keadaan ini berbeza dengan emas dan perak yang masih ada di tangan peniaga kerana zakatnya dihitung berdasarkan nilai keseluruhan bagi perusahaannya termasuk perhiasan batu-batu permata yang ada.

    PERHIASAN EMAS DAN PERAK YANG HARAM DIPAKAI WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT

    Perhiasan emas yang haram dipakai tetapi dimiliki oleh kaum lelaki wajib dikeluarkan zakat seperti gelang emas atau jam tangan tetapi jika dia memakai cincin perak, ia tidak wajib dikeluarkan zakat kerana perak adalah dihalalkan bagi kaum lelaki. Begitu juga dengan wanita yang memakai perhiasan kaum lelaki sedangkan perhiasan tersebut diharamkan bagi mereka, ia wajib dikeluarkan zakat.
    Kesimpulannya, kesemua perhiasan emas dan perak walaupun haram dipakai wajib dikeluarkan zakat apabila telah cukup nisab sama ada nisab tersebut cukup dengan sendirinya ataupun cukup secara menggabungkan dengan harta yang lain. Penjelasan mengenai nisab emas dan perak telahpun dijelaskan sebelum ini. Selain dari itu wang tunai juga hendaklah digabungkan dengan emas dan perak untuk menghitung nisab, begitu juga dengan komoditi perniagaan hendaklah digabungkan dengan barang yang lain.
    Kadar zakat perhiasan emas dan perak yang wajib dikeluarkan juga adalah sebanyak 2.5% atau 1/40.

    ZAKAT BON

    Hukum Syarak Dalam Pengurusan Jual Beli Dengan Menggunakan Bon

    Bon (keterangan akuan hutang atau pinjaman) merupakan sebahagian dari pinjaman yang diberikan kepada syarikat atau pihak yang mengeluarkannya. Syarikat atau pihak berkenaan memberikan faedah tertentu terhadap bon tersebut ketika ia dikeluarkan. Faedah ini tidak dikaitkan dengan keuntungan atau kerugian syarikat dan syarikat wajib menjelaskannya dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Bon tersebut memiliki harga nominal (harga seimbang) iaitu harga asli ketika ia dikeluarkan pada kali pertama dan harga pasaran disesuaikan dengan kedudukan tawaran dan permintaan.
    Hukum berurusan jual beli dengan menggunakan bon adalah haram mengikut syariat Islam kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, begitu juga kerana ia termasuk di dalam kategori jual beli hutang kepada orang lain (orang yang tidak berkaitan) dan jual beli tersebut adalah tidak dibolehkan.

    cara membayar zakat bon

    Walaupun urusan jual beli dengan menggunakan bon diharamkan kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, pemilik bon tetap diwajibkan membayar zakat dari nilai asal (nilai nominal bon) yang dimilikinya pada setiap tahun secara menggabungkan nilai modal bon tersebut dengan hartanya yang lain dalam hitungan nisab dan haul, kemudian membayar sebanyak 1/40 atau 2.5% dari jumlah keseluruhannya tidak termasuk faedah riba yang dihasilkan. Faedah riba yang diharamkan itu hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan dan kepentingan umum selain dari pembinaan masjid, percetakan al-Quran dan sebagainya.
    Perbelanjaan faedah riba dengan cara sedemikian adalah untuk menghindarkan diri dari harta yang haram, ia juga tidak boleh dihitung sebagai harta yang wajib dikeluarkan zakat, tidak boleh dibelanjakan untuk kepentingan diri sendiri, anak-anak dan keluarga tetapi sebaik-baiknya ia disumbangkan kepada orang-orang yang betul-betul terdesak seperti orang-orang yang ditimpa kebuluran, musibah, bencana alam dan sebagainya.

    ZAKAT SAHAM

    Hukum Syarak Dalam Pengurusan Dengan Menggunakan Jual Beli Saham

    Saham adalah merupakan sebahagian dari modal sesebuah syarikat yang akan mengalami keuntungan dan kerugian sesuai mengikut keuntungan dan kerugian syarikat berkenaan. Pemilik saham adalah merupakan salah seorang rakan kongsi di dalam sesebuah syarikat atau dengan kata lain dia merupakan pemilik sebahagian dari harta syarikat mengikut kadar nisbah bilangan saham-sahamnya berbanding dengan jumlah keseluruhan saham syarikat dan pemilik saham berhak menjual sahamnya bila-bila sahaja dia kehendaki.
    Saham mempunyai harga nominal yang ditetapkan ketika dikeluarkan kali pertama dan ia juga mempunyai harga pasaran yang ditentukan berdasarkan kedudukan tawaran dan permintaan di bursa saham tempat di mana saham-saham tersebut beredar.
    Kedudukan halal atau haramnya sesuatu saham adalah dihukum mengikut kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat yang telah diberikan saham. Oleh yang demikian, haram memberi saham kepada sesebuah syarikat dan haram memiliki sahamnya apabila dasar utama syarikat tersebut adalah untuk beroperasi dan menjalankan perniagaan sesuatu barang yang diharamkan seperti melaksanakan riba serta membuat dan berniaga arak ataupun mengamalkan sistem jualan yang diharamkan seperti sistem jualan dengan menunjukkan contoh barang dan jualan gharar (jualan barang yang tidak pasti harga, barang jualan, waktu dan kemampuan untuk menyerahkannya).

    cara membayar zakat saham

    1. Jika syarikat yang berkaitan telah membayar zakat sahamnya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam bahagian zakat syarikat, pemilik saham tidak lagi wajib mengeluarkan zakat sahamnya untuk mengelakkan dari berlaku pergandaan di dalam zakat (mengeluar zakat sebanyak dua kali).
    2. Adapun apabila syarikat tersebut tidak mengeluarkan zakatnya, pemilik saham wajib membayar zakatnya dengan cara sebagaimana berikut:
    3. Apabila pemilik saham mengambil saham-sahamnya untuk diperniagakan secara menjualbelikan sahamnya, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 1/40 atau 2.5% dari harga pasaran yang sah pada hari diwajibkan zakat (waktu cukup haul) seperti komoditi perniagaan yang lain.
    Jika pemilik saham mengambil sahamnya hanya untuk mendapatkan manfaat dari keuntungan tahunan saham tersebut, maka cara pembayaran zakatnya adalah sebagaimana berikut:
    1. Jika dia mampu untuk mengetahui (sama ada melalui syarikat yang mengeluarkan saham atau melalui pihak yang lain) kadar harga yang telah ditentukan bagi setiap saham dari jumlah keseluruhan aset syarikat yang wajib dikeluarkan zakat, dia wajib membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5% dari nilai saham tersebut.
    2. Jika dia tidak dapat mengetahuinya, dia hendaklah menggabungkan keuntungan saham tersebut dengan kekayaan yang lain dalam hitungan haul dan nisab kemudian membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5% dan dengan demikian dia bebas dari segala tanggungannya.

Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*