Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Islam adalah agama yang paling lengkap meliputi soal yang berhubung kait dengan ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah. Para Fuqaha telah menyusun secara terperinci berdasarkan dalil dan hujjah mengikut 4 bahagian sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Sumber:
http://www.jais.gov.my
UNDANG-UNDANG JENAYAH SYAR'IYAH
Undang-undang jenayah syar'iyah atau Kanun Jinayah Syar'iyah
ialah undang-undang syarak yang bersabit dengan kesalahan-kesalahan yang
dilakukan oleh seseorang yang boleh didakwa di bawah kes jinayah syar'iyah.
PENGERTIAN JENAYAH
Melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T atau
meninggalkan sesuatu perkara yang disuruh olehnya.
PENGERTIAN JENAYAH MENURUT FUQAHA
Jenayah menurut fuqaha ialah perbuatan atau perilaku yang jahat
yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan
jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.
HUKUM-HUKUM JENAYAH ISLAM
Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga bahagian:
a. Hukum Qisas
b. Hukum Hudud
c. Hukum Ta'zir
PENGERTIAN QISAS
Qisas dari sudut bahasa bermaksud memotong. Manakala dari sudut
syara' ialah hukuman balas bagi kesalahan membunuh dibalas dengan bunuh,
menghilangkan salah satu dari anggota orang lain atau melukakannya atau
mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang
dilakukannya.
Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu
menjalankan hukuman qisas(balasan yang seimbang) dalam perkara orang mati
dibunuh" ( Surah al-Baqarah :178)
"Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu
wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa" ( Surah
al-Baqarah:179)
JENIS JENAYAH QISAS
Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah:
1.
Membunuh dengan sengaja (Dengan niat membunuh dan dengan senjata
yang boleh membunuh pada adatnya).
2.
Menghilangkan atau mencederakan anggota tubuh badan dengan
sengaja seperti mata, hidung, telinga dan sebagainya.
3.
Melukakan orang lain dengan sengaja.
HUKUMAN TERHADAP KESALAHAN QISAS.
Mengikut Hukum Islam, qisas hendaklah dilakukan terhadap
penjenayah dengan hukuman yang sama seperti mana dia melakukan kepada
mangsanya. Membunuh dibalas dengan dibunuh, melukakan dibalas dengan dilukakan
dan mencederakan dibalas dengan mencederakannya.
DIYAT
Diyat ialah denda yang wajib dibayar oleh orang yang melakukan
jenayah kerana kesalahan jenayahnya sebagai ganti qisas. Apabila keluarga orang
yang dibunuh (pembunuhan sengaja) atau orang yang dihilangkan atau dicederakan
anggota atau yang dicederakan memaafkan, maka diganti dengan diat. Hanya waris
sahaja yang boleh memaafkan tetapi bukan pemerintah).
KADAR DIYAT
Diyat terbahagi kepada 2 jenis:
1.
Diyat Mughallazah (ganti kerugian yang berat)
2.
Diyat Mukhaffafah (ganti kerugian yang ringan)
Diyat Mughallazah adalah satu diyat penuh iaitu 100 ekor unta
yang dibayar secara terus (tanpa tangguh) sebagaimana yang berikut:
1.
30 ekor unta berumur 4 tahun
2.
30 ekor unta berumur 3 tahun
3.
40 ekor unta yang sedang bunting
Diyat Mughallazah juga boleh dibayar dengan bayaran-bayaran
berikut:
1.
33 ekor unta berumur 4 tahun
2.
33 ekor unta berumur 3 tahun
3.
34 ekor unta yang sedang bunting.
Diyat Mukhaffafh juga adalah satu diyat penuh iaitu 100 ekor
unta yang dibayar secara beransur-ansur (tangguh)selama 3 tahun dan setiap
tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyat sebagaimana yang berikut:
1.
20 ekor unta umur 4 tahun
2.
20 ekor unta umur 3 tahun
3.
20 ekor unta betina umur 2 tahun
4.
20 ekor unta jantan umur 2 tahun
5.
20 ekor unta betina umur 1 tahun
Kadar diyat adalah dikira mengikut bilangan unta dengan harga
semasa iaitu harta yang paling bernilai ketika itu. Kadar penuh untuk
satu diyat penuh ialah 100 ekor unta. Walau bagaimanapun , para ulama'
berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai
dengannya pada masa tersebut. Diantaranya ialah:
1.
Wang Emas
- 1,000 dinar
2.
Wang Perak
- 10,000 dirham
3.
Lembu
- 200 ekor
4.
Kambing
- 2,000 ekor
5.
Persalinan
- 200 persalinan
lengkap
Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyat penuh
ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyat penuh
ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyat penuh.
Bagi pesalah perempuan diyat mereka adalah separuh dari diat
lelaki dan diat hamba adalah separuh dari diyat orang merdeka.
Diyat Mughallazah di kenakan kepada orang yang membunuh secara
sengaja (niat membunuh dan dengan senjata yang boleh membunuh ) dengan syarat
dimaafkan dan dipersetujui oleh waris orang yang dibunuh. Diyat tersebut
hendaklah dibayar secara tunai tanpa bertangguh atau beransur.
Diyat Mukhaffafah pula ialah bagi pembunuhan tidak sengaja (
seperti tertembak rakan yang disangkanya binatang buruan ) atau pembunuhan yang
seperti sengaja ( tidak niat membunuh dan dengan benda yang lazimnya tidak
boleh membunuh ). Boleh dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun.
DIYAT MENGHILANG ATAU MENCEDERAKAN ANGGOTA
Menghilangkan atau mencederakan anggota tubuh badan dengan
sengaja seperti mata, hidung, telinga dan lain-lain dikenakan qisas sebagaimana
kehilangan dan kadar kecederaan anggota. Tetapi jika orang yang terkena dengan
jenayah tersebut memilih untuk mengganti dengan diyat maka kadarnya adalah
seperti berikut:
1.
100 ekor unta untuk anggota tunggal sepert terputusnya lidah,
hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
2.
50 ekor unta untuk anggota berpasangan seperti dua mata dan
lain-lain. Jika kedua-duanya maka diyatnya 100 ekor unta.
3.
33 ekor unta untuk luka yang sampai ke dalam bahagian otak.
4.
33 ekor unta untuk luka yang sampai keselaput kepala.
5.
25 ekor unta untuk anggota yang berpasang yang mempunyai kelopak
seperti 4 kelopak mata.
6.
15 ekor unta untuk luka yang sampai ketulang dan mematahkannya
sehingga tergeser dari tempatnya.
7.
10 ekor unta bagi luka yang memecah atau mematah tulang.
8.
10 ekor unta untuk anggota yang mempunyai 10 sendi atau bahagian
seperti jari tangan dan kaki.
9.
5 ekor unta untuk luka yang menampakkan tulang
PENGERTIAN HUDUD
Hudud dari sudut bahasa membawa maksud menahan atau mencegah.
Manakala dari segi istilah ialah keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas
al-Quran dan as-Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T
atau merosakan kepentingan masyarakat umum dan ketenteraman orang ramai iaitu
berzina, menuduh orang berzina, minum arak, memcuri, murtad, merompak dan
memberontak . Kadar hukumannya adalah mandatori dan tidak boleh dipinda samaada
dikurang atau ditambah.
Firman Allah S.W.T:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim"(Surah al-Baqarah:229)
JENIS-JENIS JENAYAH HUDUD DAN HUKUMANNYA
Kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam hukuman hudud ialah
sebagaimana berikut:
a. Zina
Persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dan
perempuan. Hukumannya ialah direjam sampai mati jika telah berkahwin dan sebat
100 kali jika pesalah belum pernah berkahwin.
b. Qazaf ( Menuduh berzina )
Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik.
Hukumannya ialah 80 kali sebatan.
c. Minum Arak
Minum minuman yang memabukkan dan boleh menghilangkan
kewarasan akal. Hukumannya ialah 40
kali sebatan.
d. Mencuri
Mengambil harta orang lain secara senyap atau bersembunyi.
Hukumannya adalah potong tangan.
e. Merompak
Mengambil hatra orang lain dengan menggunakan kekerasan,
paksaan, ugutan dan ancaman. Hukumannya ialah:
1.
Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh.
2.
Sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tanga dan
kaki secara bersilang seperti tangan kanan dengan kaki kiri dan seterusnya kaki
kanan dan tangan kiri bagi kesalahan yang seterusnya.
3.
Sekiranya hanya mengganggu ketenteraman awam dendaklah di ta'zir
seperti dipenjara dan lain-lain lagi.
f. Murtad
Keluar dari agama Islam samaada dengan perkataan atau perbuatan.
Hukumannya ialah bunuh ( setelah diberi tempoh untuk bertaubat)
PENGERTIAN TA'ZIR
Ta'zir dari segi bahasa bererti menolak atau menghalang. Dari
segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan
dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman
keseksaannya di dalam al-quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas
orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaaannya tetapi tidak
cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.
KESALAHAN YANG TERMASUK DI BAWAH KATEGORI TA'ZIR.
Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta'zir ialah
sebagaimana berikut:
1.
Kesalahan-kesalahan hudud dan qisas yang tidak cukup bukti untuk
dikenakan hukuman hudud dan qisas.
2.
Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab,
lesbian dan sebagainya.
3.
Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam
seperti mengumpat,berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.
HUKUMAN BAGI KESALAHAN TA'ZIR
Hukuman ta'zir diserahkan kepada budi bicara hakim supaya
hukuman tersebut memberi pengajaran supaya penjenayah serik untuk melakukan
semula. Antara hukuman-hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah
sebagaimana berikut:
a. Nasihat
Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama
kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.
b. Teguran
Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan
ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang
melakukan kesalahan akan berusaha memperbaiki dirinya.
c. Ancaman
Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya
di atas sebab takut dikenakan hukuman.
d. Pemulauan
Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa
tersepit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat
bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.
e. Pengisytiharan Umum
Membuat pengistiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah
supaya penjenayah berasa malu dan tertekan.
f. Denda dan merampas harta
Mengenakan denda dalam bentuk wang dan sebagainya atau merampas
harta bendanya.
g. Penjara
Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut
realiti semasa.
h. Sebat
Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan
yang tertentu.
i. Buang daerah
Mengenakan hukuman buang daerah supaya pesalah rasa tertekan,
mengalami kesukaran, kesusahan dan terpisah dari kaum keluarga
j. Bunuh
Dibenarkan oleh syara' bagi menjaga kemaslahatan awam jika
difikirkan sesuai
HIKMAH PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH ISLAM
1.
Melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah
sebelum berlaku
2.
Memperbaiki penjenayah dan memperbetulkan penyelewengan.
3.
Membersihkan dosa penjenayah, mendidiknya dan menyelamatkannya
daripada azab akhirat.Sumber:
http://www.jais.gov.my