|
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda
:” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini.
Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia
membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah
Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai
dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”
(al-Bukhari)
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan
dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta
dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan
tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan
miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya
kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika
direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana
seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah
sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita
kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan
kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu
dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
|
|