|
Diriwayatkan
daripada Abu Said al-Khudri r.a: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan
semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan
perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat
gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang
dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila
Allah mengampunkannya."
(al-Bukahri)
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf
bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja
memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada
kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman
dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman
keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang
mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang
menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka
tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan
memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang
memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin
dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar
ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk
Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan
tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang
jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan
inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.
|
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
|