Nabi telah bersabda:
"Dua jenis kenikmatan yang kebanyakan manusia dapat ditipu oleh kedua-duanya, iaitu kesihatan dan waktu lapang"(Riwayat Bukhari)
Penyakit yang menimpa seseorang adalah merupakan salah satu dari
ujian-ujian Allah s.w.t. Ujian, cubaan dan bala Allah ke atas
hambanya ada mempunyai tujuan dan hikmahnya yang tersendiri:
1.
Membersih dan memilih orang mukmin yang sejati dan membezakan
orang munafik.
2.
Mengangkat darjat dan menghapuskan dosa hambanya kerana bersabar
menghadapi ujian dan cubaan.
3.
Mengungkap hakikat manusia itu sendiri sehingga jelas
memperlihatkan kesabaran dan ketaatannya.
4.
Membentuk peribadi dan tahan uji dengan ujian hidup dan
melahirkan manusia berakhlak mulia dan tabah.
5.
Melatih diri agar manusia yang diuji dan dicuba ini bertambah
sabar, tabah dan berpendirian teguh menghadapi musibah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidak ada seorang muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya"(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabdanya lagi:
"Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukminin lelaki dan wanita yang mengenai diri, harta dan anaknya ( dengan sabar) sehingga dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa"(Riwayat Tarmizi)
Nabi telah bersabda lagi:
Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi s.a.w sabdanya:
"Tiap-tiap penyakit itu(ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah"(Riwayat Muslim dan Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas dapat fahami bahawa:
·
Setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati. Penyakit yang
menimpa makhluk Allah adalah disebabkan oleh wabak, bala, ataupun disebabkan
oleh kelemahan dan kelalaian manusia itu sendiri. Makanan dan minuman
merupakan keperluan manusia. Ia perlu mengambil hanya yang halal,
bersih dan suci tetapi tidak secara berlebihan kerana. Sikap berlebih-lebihan
akan mendatangkan pelbagai mudharat (penyakit). Allah s.w.t mengigatkan apa
yang terdapat dalam al-Quran dalam Surah al-A'raf ayat 31:
"Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan kerana Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan"
·
Mengubat penyakit adalah menjadi kewajiban sebagai usaha dan
ikhtiar manusia. Satu penyakit mungkin hanya mempunyai satu ubat tetapi
berkemungkinan mempunyai puluhah ubat. Manusia dengan teknologi yang ada telah
membuat kajian , penyelidikan serta penemuan. Oleh yang demikian kita selalu
mendengar bidang-bidang perubatan seperti perubatan moden, Homeophati,
Perubatan cina, Tradisional, Rawatan Islam dan berbagai-bagai lagi. Ada ubat
yang memang ubat, ada ubat yang ada kesan sampingan, ada yang tidak ada kesan
sampingan, ada makanan tambahan dan berbagai-bagai jenis yang berada dalam
pasaran.
Nabi s.a.w bersabda:
"Berubatlah , sesungguhnya Allah Azza Wajalla tidak meletakkan (kepada manusia) sesuatu penyakit melainkan diturunkan untuknya (penyakit tersebut) penawar kecuali satu penyakit (tiada ubat baginya). Lalu para sahabat bertanya apakah dia? ( penyakit yang tiada ubat itu ya Rasulullah) lalu Rasulullah menjawab, Tua(mati)"
· Nabi menyatakan: "Jika menepati ubat itu akan
penyakit maka ia akan sembuh". Ertinya kita
mesti berusaha mencari ubat yang sesuai dengan penyakit kita. Mungkin sesuatu
ubat itu tidak sesuai dengan seseorang walaupun ubat itu memang ubat yang khusus
untuk penyakit tersebut. Sembuh bagi seseorang tetapi tidak sembuh untuk
seseorang yang lain. Dengan makna yang lain ia disebut sebagai
"Rasi".
·
Ubat bukan penyembuh. Ia hanyalah sebagai sebab musabbab sahaja.
Penyembuh yang hakiki adalah Allah azza wa jalla. Sesiapa yang menganggap atau
mengi'tiqadkan bahawa ubat dapat memberikan kesan atau menyembuhkan penyakit,
maka orang dianggap syirik kepada Allah s.w.t. Sebab itu hadis riwayat Jabir
sebagaimana diatas, Nabi menegaskan dengan perkataan: "Dengan izin
Allah".
Wallahua'lam.
Sumber: www.jais.gov.my