|
Dari
Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada
kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi
s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna
dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia
solat.”
(Muslim)
Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun
tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun
itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-
1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya
"Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".
2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang
dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan
seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak
3 kali.
3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari
bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti
tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.
4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya
tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.
5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta
celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3
kali.
6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian
dikemudiankan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
|