Kelebihan Bersedekah

Firman Allah Taala:



وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ(10)


"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata:  Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh. "(1)

Selain daripada "sedekah wajib" (zakat harta,  zakat fitrah dan lain-lainnya), umat Islam umumnya digalakkan memberi "sedekah sunat" (pelbagai jenis derma dan khairat) sebagai bersyukur akan segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita terutama "nikmat Islam".

Kelebihan Bersedekah Menurut Keterangan al-Qur'an:
Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya di dalam al-Qur'an. Banyak sekali ayat-ayat suci yang menerangkan.  Di antaranya seperti berikut:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.


"Bandingan (pemberian) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,  sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.  Dan (ingatlah), Allah akan melimpat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."(2)

Jelasnya, orang-orang yang bermurah hati membelanjakan hartanya pada jalan Allah - meliputi segala jenis kebajikan umum akan dibalas oleh Allah Taala dengan pahala tujuh ratus kali ganda, asalkan sedekah atau derma dan khairat itu diberikan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.
______________________________
1. Ayat 10, Surah al-Munafiqun.
2. Ayat 261, Surah al-Baqarah.

Di dalam hadith pula diterangkan seperti berikut:

117- عَنْ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَدْرِ النَّهَارِ قَالَ فَجَاءَهُ قَوْمٌ حُفَاةٌ عُرَاةٌ … فَتَمَعَّرَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَا رَأَى بِهِمْ مِنْ الْفَاقَةِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ فَأَمَرَ بِلَالًا فَأَذَّنَ وَأَقَامَ فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ إِلَى آخِرِ الْآيَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا وَالْآيَةَ الَّتِي فِي الْحَشْرِ اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ تَصَدَّقَ رَجُلٌ مِنْ دِينَارِهِ مِنْ دِرْهَمِهِ مِنْ ثَوْبِهِ مِنْ صَاعِ بُرِّهِ مِنْ صَاعِ تَمْرِهِ حَتَّى قَالَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ قَالَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ بِصُرَّةٍ كَادَتْ كَفُّهُ تَعْجِزُ عَنْهَا بَلْ قَدْ عَجَزَتْ قَالَ ثُمَّ تَتَابَعَ النَّاسُ حَتَّى رَأَيْتُ كَوْمَيْنِ مِنْ طَعَامٍ وَثِيَابٍ حَتَّى رَأَيْتُ وَجْهَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَهَلَّلُ كَأَنَّهُ مُذْهَبَةٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ. (رواه مسلم)


117- Dari al-Mundzir bin Jarir, dari bapanya r.a., katanya: "Semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. pada waktu tengah hari (di Masjid Nabi di Madinah), tiba-tiba datang satu rombongan (dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat-sangat miskin) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang-camping ..; berubahlah air muka Rasulullah s.a.w. kerana melihatkan penderitaan mereka. Lalu Baginda masuk (kerumahnya - yang terletak di tepi Masjid) kemudian keluar semula, lalu menyuruh Bilal azan.  Bilal pun azan dan iqamat,  lalu Baginda (bersama-sama sidang jamaah) mengerjakan sembahyang (Zuhur). Selepas sembahyang,  Baginda (bangun) berucap (menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Qur'an.(1)

Maksudnya:

"Wahai sekalian manusia,  bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) .." hingga akhir ayat. 

Dan membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), Surah al-Hasyr yang maksudnya: "(Wahai orang-orang yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan dari (amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) .."

(Rawi hadith ini berkata:  Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya, dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga Baginda bersabda: (Bersedekahlah) walau dengan setengah biji buah kurma sekalipun".

Katanya lagi: "Tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat,  hampir-hampir tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya".

" .. setelah itu, orang ramai pun datang berduyun-duyun (membawa sedekah,  masing-masing menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian.  Pada saat itu aku melihat wajah Rasulullah s.a.w. berseri-seri seperti benda indah yang keemasan (kerana gembira) lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Barang siapa membuat satu rancangan yang baik dalam Islam maka ia akan mendapat pahala rancangannya itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.

"Dan barang siapa membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun."(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Hadith yang panjang lebar ini menerangkan beberapa perkara yang menjadi contoh ikutan.

Pertama: Setelah Rasulullah s.a.w. mengumpulkan orang ramai dengan tujuan meminta mereka membantu orang-orang yang memerlukan bantuan,  Baginda memulakan ucapannya dengan ayat-ayat al-Qur'an yang ada hubungannya dengan maudhu' yang hendak diterangkannya, lalu Baginda membacakan ayat yang pertama dari surah al-Nisa', kerana kandungan ayat itu menarik perhatian pendengarnya dari segi "kemanusiaan" dengan menegaskan bahawa umat manusia semuanya dijadikan oleh Allah Taala berasal dari "diri yang satu" iaitu Adam a.s.

Tujuan Baginda membacakan ayat ini, kerana hendak mengingatkan bahawa umat manusia semuanya adalah bersaudara dan kerana itu hendaklah golongan yang mampu menolong golongan yang menderita.

Kemudian Baginda membacakan ayat yang ke-18, dari surah al-Hasyr, kerana kandungan ayat itu menarik perhatian pendengarnya dari segi "iman dan taqwa" dan mengajak mereka memikirkan setakat mana amal bakti yang mereka sediakan untuk kebaikan mereka pada hari akhirat kelak.

Tujuan Baginda membacakan ayat ini - dapat difaham dengan jelas,  kerana hendak mengingatkan bahawa iman seseorang hendaklah dibukukan dengan amal yang soleh dan antara amal-amal yang soleh itu ialah menolong orang-orang yang memerlukan bantuan. 

Kedua: Mengajar, malah memberi perangsang dan menggalakkan umatnya supaya masing-masing sentiasa bermurah hati dan bersifat dermawan terhadap orang-orang yang terdesak hidupnya, sama ada pemberian ini berupa wang ringgit atau makanan atau pakaian (atau apa jua yang dapat menolong), kerana semuanya itu berpahala belaka.

Malah Baginda pernah menegaskan: "Bersedekahlah walau dengan setengah biji buah karma sekalipun."
Hakikat ini dijelaskan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an, maksudnya:

" .. barangsiapa berbuat kebajikan seberat zarah (seberat sebutir debu), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)".

"Dan barang siapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)."(3)

Ketiga: Menyatakan kegembiraan Baginda melihatkan orang-orang yang bermurah hati bersedekah kepada orang-orang fakir miskin yang menderita yang datang mengadu hal kepada Baginda pada hari ini, sambil Baginda memuji secara khusus kepada orang yang mula-mula sekali membawakan satu bungkusan besar sebagai derma baktinya, lalu Baginda menegaskan: " مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً " seperti yang disebutkan pada bahagian yang lalu berserta dengan terjemahannya.

Yakni barangsiapa menjadi pelopor (yang memulakan) satu rancangan yang baik (sunat hasanah) dalam Islam sama ada rancangan itu bertujuan menegakkan syiar Islam(4) - atau memperkukuh ekonomi masyarakat Islam(5) dan sebagainya - maka perancangnya akan mendapat pahala terus menerus selagi rancangannya itu berjalan diamalkan oleh orang-orang yang ada pada zamannya dan yang datang kemudian, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.

Sebaliknya Baginda mengingatkan: 

" وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً " 
seperti yang disebutkan pada akhir hadith ini beserta dengan terjemahannya. Yakni barang siapa menjadi pelopor (yang memulakan) satu rancangan jahat (sunat saiyi'ah) dalam Islam yang sudah tentu merosakkan dan dimurkai Allah - maka perancangnya ini akan menanggung dosanya terus menerus selagi rancangannya itu di lakukan oleh orang-orang yang ada pada zamannya dan yang datang kemudian, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikit pun.(6)
______________________________
1. Ayat pertama, surah al-Nisa'.
2. Sahih Muslim - bi Syarah al-Nawawi (7:102).
3. Ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah (surah yang ke-99). Kandungan ayat 7 menggalakkan kita supaya jangan meninggalkan amal-amal yang baik sekalipun sedikit.  Manakala ayat 8 pula mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat walau yang sekecil-kecilnya.
4. Misalnya (sambutan maulid nabi) yang diisi dengan syarahan agama dan (ujian membaca al-Qur'an) yang sekarang menjadi ikutan - negara-negara Islam yang lain.
5. Misalnya rancangan (tabung haji) dan rancangan-rancangan yang sama tujuannya.
6. Menurut huraian al-Imam al-Nawawi rahimahullah Taala, hadith
" مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً " 
ini mengkhaskan (menentukan pengertian) hadith (yang am) yang berbunyi 
" كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ "
(tiap-tiap perkara baharu - yang diada-adakan dalam Islam adalah bid'ah dan tlap-tlap bid'ah itu sesat) dan bahawa maksud: "perkara-perkara baharu" ialah perkara-perkara baharu yang salah, manakala "bid'ah" yang dimaksudkan itu ialah bid'ah yang tercela (bid'ah mazmumah).


Kata Imam Nawawi lagi: Telah pun diterangkan pada bahagian yang lalu, bahawa perkara-perkara bid'ah itu terbahagi lima: Bid'ah wajib,  bid'ah sunat,  bid'ah haram,  bid'ah makruh dan bid'ah harus (bid'ah mubahah). Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:104).

Kelebihan bersedekah diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

118- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)


118- Dari Abu Said r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar,  Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga.  Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga,  Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeterai bekasnya."(1)
(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini selain daripada menerangkan secara khusus tentang balasan yang sebaik-baiknya yang akan didapati oleh orang-orang yang bersedekah kepada golongan fakir miskin yang menderita, diterangkan pula - sebagai menambahkan pengetahuan - bahawa pakaian penduduk syurga yang serba indah itu ialah berwarna hijau.

Keistimewaan warna hijau ini ditegaskan juga di dalam al-Qur'an. Dalam beberapa ayat diterangkan bahawa penduduk syurga pada hari akhirat kelak bukan sahaja dihiasi dengan pakaian dan kain sutera yang berwarna hijau, (2) bahkan bantal-bantal dan cadar yang disediakan untuk mereka di sana, juga berwarna hijau.(3)

Warna putih juga mempunyai keistimewaan dalam Islam. Dalam sebuah hadith sahih(4) - diterangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian).
______________________________
1. 'Aun al-Ma`bud (5:96). Meskipun salah seorang di antara rawi-rawi hadith ini dilemahkan oleh setengah ahli hadith tetapi setengahnya yang lain menguatkannya.
2. Ayat 31, Surah al-Kahfi dan 21, Surah al-Insan (al-Dahr).
3. Ayat 76, Surah al-Rahman.
4. Bulugh al-Maram (116) dan Ibanat al-Ahkam (2:213).

Sumber: http://www.islam.gov.my


Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*