Menghayati Ikatan Persaudaraan

Persaudaraan ialah satu ikatan yang menimbulkan perasaan kasih sayang dan hormat-menghormati dengan cara yang mendalam antara sesama saudara dalam satu aqidah keislaman dan diasaskan atas sifat taqwa serta iman. Rasa persaudaraan ikhlas yang timbul dalam diri seorang Muslim itulah yang melahirkan sikap positifnya terhadap saudaranya iaitu dalam sikap tolong-menolong, memelihara kepentingan bersama, berkasih sayang dan saling memaafkan ketika mampu. Perasaan ini juga yang melahirkan sikap negatif seperti mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan jiwa orang lain atau harta benda mereka, atau yang menyentuh kehormatan dan menjatuhkan maruah mereka. Maka dalam hal ini terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadith yang menyeru kepada persaudaraan dan menjelaskan kelebihan serta kesannya yang baik.

Allah S.W.T berfirman:

Bermaksud:
Sesungguhnya orang Mukmin itu adalah bersaudara.
(Surah al-Hujurat: 10)

Allah juga berfirman:

Bermaksud:
Nanti akan Kami kuatkan engkau dengan saudara engkau.
(Surah al-Qasas : 35)

Dan Allah berfirman lagi:

Bermaksud:
Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu, ketika kamu telah bermusuh-musuhan, lalu dipersatukan-Nya hati kamu, sehingga kamu jadi bersaudara dengan nikmat-Nya.
(Surah Ali Imran : 103)

Rasulullah s.a.w. pula bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim:

Bererti:
Seorang Muslim adalah saudara dengan Muslim yang lain, ia tidak akan menganiayainya, tidak menghinanya dan tidak akan mengecewakannya. Cukupkah seorang Muslim itu menjadi jahat semata-mata kerana ia menghina saudara Muslimnya. Darah, harta benda dan kehormatan seorang Muslim itu haram disentuh oleh orang Muslim yang lain. Sesungguhnya taqwa itu hanya di sini (tiga kali sebutan) Sambil baginda mengisyaratkan ke dadanya.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith:

Bererti:
Tidak (sempuma) iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia suka bagi saudaranya sesuatu yang disukainya bagi dirinya sendiri.

Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadith:

Bererti:
Orang yang beriman dalam perhubungan kemes-raan, kesatuan dan kasih sayang adalah seperti satu jasad, iaitu ketika satu anggota jasad itu sakit, maka seluruh badan akan merasakannya tidak dapat tidur dan demam.

Muslim meriwayatkan lagi:

Bererti:
Sesungguhnya pada hari kiamat Allah S.W.T akan bertanya: Manakah dia orang yang saling cinta mencintai (berdasarkan) kemuliaan-Ku? Pada hari ini Aku akan naungi mereka di bawah naungan-Ku, iaitu hari yang tidak wujud sebarang naungan kecuali naungan-Ku.
Maka berdasarkan persaudaraan dan kemesraan yang sejati inilah umat Islam bekerjasama di sepanjang sejarah mereka iaitu kerjasama yang penuh dengan bantu membantu, penuh jaminan dan tidak mementingkan diri.

Di bawah ini dijelaskan beberapa contoh tentang perkara tersebut:

i. Al-Hakim menceritakan dalam al-Mustadrak bahawa Mu'awiyah ibn Abi Sufian menghantar lapan puluh ribu dirham kepada Aisyah (r.a.) dan ketika itu Sayyidatina Aisyah sedang berpuasa dan berpakaian lusuh. Maka Sayyidatina Aisyah terus membahagi-bahagikan wang itu kepada fakir miskin sehingga habis dan tidak tinggal sedirham pun padanya. Lalu pembantu rumahnya bersuara kepadanya: "Wahai puan, tidak mungkinkah puan menggunakan sedirham untuk membeli daging buat puan berbuka puasa". Lalu Aisyah menjawab: "Ah, kalaulah engkau mengingatkan aku tadi, tentu akan kulakukan demikian".

ii At-Tabarani menceritakan dalam Al-Kabir bahawa Sayyidina Umar ibn Al-Khattab (r.a.) memasukkan wang sebanyak empat ratus dinar ke dalam satu uncang dan meminta budak suruhannya supaya membawa wang itu kepada Abu Ubaidah ibn Al-Jarrah dan menunggu di Sana seketika untuk mempastikan apakah yang akan dilakukan oleh Abu Ubaidah dengan wang tersebut. Budak suruhan itu pun pergilah bertemu Abu Ubaidah dan menyerahkan wang tersebut sambil berkata: "Amirul Mukminin memesan gunakanlah wang ini untuk keperluan tuan yang patut". Abu Ubaidah menjawab: "Allah berikan rahmat-Nya kepada Umar" kemudian memanggil hambanya dan berkata: "Nah, bawa wang ini tujuh dinar kepada si anu, lima kepada si anu, dan lima kepada si anu..." sehingga habis wang itu. Budak suruhan itupun balik dan menceritakan segala-galanya kepada Sayyidina Umar.

Di samping itu, Sayyidina Umar rupa-rupanya telah menyediakan wang dalam uncang sama seperti yang telah dibawakan kepada Abu Ubaidah tadi tetapi kali ini untuk Mu'az ibn Jabal. Sayyidina Umar meminta budak suruhan ini membawanya kepada Mu'az dengan pesanan yang sama seperti tadi, lalu budak itupun pergi ke rumah Mu'az dan menyampaikan pesanan Sayyidina Umar sama seperti yang dicakapkannya kepada Abu Ubaidah. Di sini sekali lagi cerita berulang, iaitu Mu'az juga memanggil hambanya dan menyuruhnya membahagi-bahagikannya ke rumah si polan dan si polan. Namun begitu seorang perempuan yang memerhatikan keadaan ini, iaitu isteri Mu'az sendiri yang terus berkata: "Kita juga orang miskin. Apakah tidak ada habuannya?" Ketika itu wang yang baki di dalam uncang hanyalah dua dinar, lalu dihulurkanlah dua dinar yang baki itu kepada isterinya. Budak suruhan itu pun balik dan menceritakan hal ini kepada Sayyidina Umar, dan alangkah gembiranya SayyidinaUmar mendengarnya, lalu berkata: "Sesungguhnya mereka semua adalah bersaudara".

iii. Pernah satu ketika pada zaman Sayyidina Umar berlaku musim kemarau yang amat dahsyat menyebabkan penderitaan yang amat sangat. Dalam masa yang sama terdapat satu kafilah dari Syam kepunyaan Sayyidina Uthman (r.a.)-Maka berlumba-lumbalah para pedagang membuat tawaran untuk membeli kafilah yang terdiri daripada seribu ekor unta dengan berbagai-bagai jenis makanan dan pakaian. Sayyidina Uthman pun bertanya kepada mereka berapakah keuntungan yang anda akan berikan kepadaku? Mereka menjawab: "Lima peratus". Sayyidina Uthman pun berkata lagi: "Ada orang lain yang sanggup memberikan lebih daripada itu". Mereka pun berkata: "Kami tidak tahu siapakah antara para pedagang yang sanggup memberikan keuntungan lebih daripada itu". Lalu Sayyidina Uthman berkata kepada mereka: "Sesungguh-nya aku tahu dan telah aku temui orang yang sanggup memberikan lebih tujuh ratus peratus di atas setiap dirham iaitu ketika aku dapati firman Allah:

Bermaksud:
Diumpamakan orang yang membelanjakan harta-nya pada jalan Allah, seperti satu biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, (dan) pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji, dan Allah akan melipat-gandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Baqarah: 261)

Kamu semua menjadi saksi wahai para pedagang sekalian, bahawa qafilah ini penuh dengan gandum, tepung, minyak dan minyak sapinya telah kuhadiahkan kepada para fakir miskin Madinah, dan aku jadikan sedekah untuk seluruh kaum Muslimin.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar dalam al-Adab al-Mufarrad katanya:
Telah tibalah masanya tiada seorang pun lebih berhak atas dinarnya daripada saudara Muslimnya. Oleh kerana itu maka amalan-amalan kita haruslah dibentuk dan disebarkan atas dasar persaudaraan dan kecintaan ini.
Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*