Taqwa

Sifat taqwa merupakan hasil dan buah yang dipetik daripada perasaan keimanan yang mendalam terhadap Allah S.W.T. la adalah hasil daripada menghampirkan diri kepada Allah dan takut kepada kemurkaan dan seksaan-Nya dan juga sebagai hasil daripada keinginan yang tinggi untuk mendapatkan keampunan dan pahala-Nya. Para ulamak membuat definisi taqwa sebagai "Allah tidak melihat anda melakukan sesuatu yang dilarang-Nya, dan Allah tidak mengawasi anda untuk melakukan sesuatu yang disuruh-Nya". Ada sebahagian ulama' yang mendefinisikannya sebagai "Memelihara diri daripada azab Allah dengan melakukan amal soleh dan takut akan Allah dalam keadaan nyata ataupun sulit".

Bertolak daripada definisi inilah maka terdapat pelbagai ayat al-Qur'an yang menyeru manusia bersifat taqwa dan menjelaskan tentang kelebihan sifat tersebut sehingga istilah taqwa ini banyak disebut hampir dalam setiap halaman kitab suci itu.

Oleh kerana itulah para sahabat dan para ulama' terdahulu amat mengambil berat tentang taqwa dan berusaha menghayati serta berjihad pada jalannya. Diceritakan bahawa Umar ibn al-Khattab (r.a.) pernah bertanya Ubay ibn Ka'ab tentang taqwa. Ubay pun bertanya Sayyidina Umar:"Apakah tuan melalui jalan yang penuh duri?" Umar menjawab: "Ya". Ubay bertanya lagi: "Jadi bagaimanakah tuan melaluinya?" Jawab Umar: "Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh". Jawab Ubay: "Itulah taqwa".

Renungkanlah kata-kata ini, Itulah taqwa. Peka dalam hati kecil, waspada dalam perasaan takut yang tersembunyi dan sentiasa berhati-hati terutamanya dalam menjalani jalan-jalan hidup yang berduri, duri syahwat dan nafsu, keinginan dan cita-cita, ketakutan dan kebimbangan. Orang yang tidak bercita-cita, mempunyai cita-cita yang usang. Orang yang tidak mempunyai sifat takut sebenarnya memiliki perasaan takut yang palsut tidak memberikan sebarang manfaat atau mudarat. Dan berbagai-bagai yang lain lagi. (Sayyid Qutub, Fi Zilal Al-Qur'an, Jilid 1, hal. 40)

Bertaqwa kepada Allah, selain daripada menjadikan seorang Mukmin takut akan Allah dan sentiasa menghampirkan dirinya kepada Allah, merupakan sumber segala kebaikan dan kemuliaan. la juga satu-satunya jalan untuk mencegah segala keburukan dan kekejian, dosa dan noda malahan taqwa merupakan satu cara utama dalam mewujudkan kesedaran sosial dalam diri seseorang terhadap masyarakat dan setiap anggota masyarakat yang ditemuinya. Mungkin kerana kepentingan sifat taqwa dalam pendidikan kerohanian inilah maka Rasulullah s.a.w. menekankan dan mengulangi sebanyak tiga kali ungkapannya yang terkenal "Taqwa sesungguhnya ada di sini" terutamanya dalam mencegah daripada menyentuh kehormatan dan maruah orang lain serta memudaratkannya seperti yang akan dijelaskan kemudian nanti.

Di bawah ini dibawakan beberapa contoh tentang kesan taqwa terhadap tingkah laku seseorang itu:

i. Al-Ghazali menceritakan dalam kitab Ihya tentang seorang yang bernama Yunus bin Ubaid yang menjual berbagai-bagai jenis periuk dengan harga yang berbeza-beza. Ada periuk yang dijual dengan harga empat ratus dirham dan ada dua ratus dirham sahaja. Satu ketika ia pergi sembahyang dan meninggalkan anak saudaranya menjaga kedai. Tiba-tiba datanglah seorang Badwi dan meminta beli sebuah periuk yang berharga empat ratus dirham. Anak saudaranya itu pun memberikan sebuah periuk yang berharga dua ratus dirham dan diterima dengan baik oleh orang Badwi itu kerana ia amat berkenan dengan periuk tersebut. Lalu dibayarlah empat ratus dirham. Di pertengahan jalan, Yunus terserempak orang Badwi ini sedang membawa periuk tersebut lalu Yunus pun bertanya-lah tentang harganya. Orang itu menjawab empat ratus dirham, lalu Yunus memberitahunya bahawa harganya tidak lebih daripada dua ratus dirham sambil ia mengajak orang itu balik ke kedainya untuk ditukar. Namun orang itu berkata tidak perlu ditukar kerana periuk seperti itu di kampungnya bernilai lima ratus dirham dan ia rela membelinya dengan harga itu tetapi Yunus tetap berkeras dan mengajaknya balik ke kedai. "Sesungguhnya memberi nasihat dan pertimbangan pada pandangan agama adalah lebih baik daripada seisi alam ini" katanya kepada orang Badwi itu. Sesampainya di kedai ia pun memulangkan wang dua ratus dirham kepada orang itu. Kemudian terjadilah pertengkaran yang hebat antara Yunus dengan anak saudaranya. 'Tidakkah. engkau malu dan tidakkah engkau takut akan Allah?" Beliau menempelak anak saudaranya. "Engkau mengambil untung sekati ganda daripada harganya dan tidakkah engkau memberi pertimbangan kepada orang Islam" sambungnya lagi. Anak saudaranya menjawab: "Tetapi ia menerimanya dengan penuh rela". Yunus segera menjawab: "Tetapi relakah engkau sekiranya ia melakukan demikian kepada engkau?"

ii. Abdullah ibn Dinar menceritakan bahawa pada suatu ketika ia keluar berjalan ke Mekah bersama-sama Sayyidina Umar ibn al-Khattab. Ketika mereka sedang berehat di sebatang jalan tiba-tiba seorang pengembala kambing turun dari sebuah bukit berhampiran dan Sayyidina Umar berkata kepada pengembala itu: "Wahai penternak, jualkan saya seekor kambing itu" dan pengembala itu menjawab "Saya sendiri seorang hamba". Mendengar kata-kata itu maka Sayyidina Umar terus menguji hamba itu dengan katanya "Cakapkan saja kepada tuanmu bahawa kambing itu dimakan serigala!". Lalu pengembala itu pun menjawab: "Tapi di mana Allah?" Maka Sayyidina Umar terus menangis mendengar kata-kata hamba itu dan beliaupun mengikuti hamba tersebut berjumpa dengan tuannya dan terus membelinya dan memerdekakannya. Sayyidina Umar ketika membebaskan hamba itu mengeluarkan kata-kata yang berbunyi: "Kata-katamu itu yang memer-dekakan kamu di dunia ini dan aku harap kata-kata yang serupa juga yang akan memerdekakan kamu di akhirat nanti!".
iii. Ramai orang pernah mendengar cerita ibu dengan anaknya iaitu ketika ibu ingin mencampuri air dengan susu untuk mendapatkan keuntungan yang lebih sedangkan anaknya mengingatkannya tentang larangan Amirul Mukminin daripada perbuatan itu. Kata si ibu: "Ah, apa nak dikisahkan tentang Amirul Mukminin, manalah dia mengetahui perbuatan kita". Anaknya menjawab: "Kalau Amirul Mukminin tak melihat kita, maka Tuhannya melihat kita!".

Dengan itu maka pendidikan anak-anak seharusnyalah dibina atas dasar kemuliaan taqwa dan sentiasa menghampirkan diri dengan Allah S.W.T

Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*