Hukum Memasang Braces

Soalan:
Apa hukumnya memasang braces? Saya ada membaca artikel di dalam sebuah akhbar tempatan yang mengatakan: Berhias yang diharamkan oleh Islam ialah meratakan dan mengikir gigi agar lebih cantik dan yang mengubah ciptaan Allah.

Jawapan:
Yang difahami dari permasalahan: Meratakan gigi dan mengikir gigi diharamkan oleh Islam jika bertujuan agar lebih cantik dan bermaksud mengubah ciptaan Allah.

Memakai Braces
Braces atau pendakap digunakan mengikat gigi untuk meratakan kedudukan barisan gigi. Biasanya jika gigi sudah terlalu rapat dan tidak ada ruang untuk mengalihkan kedudukan gigi, salah satu gigi akan dicabut untuk memberi ruang perataan. Proses seperti ini tidak berlaku pengikisan atau pengasahan gigi.
Sebab atau 'illat meratakan gigi pada lazimnya kerana kedudukan gigi cacat atau ada tujuan perubatan lain. Tidak dinafikan dalam perataan ini ada unsur kecantikan, tetapi barisan kedudukan gigi yang lebih rata, diandaikan lebih bermanfaat kepada pemilik berbanding sebelum diratakan. Proses perataan kedudukan barisan gigi memerlukan alat yang disebut braces.

Berdasarkan huraian ini adalah harus menggunakan braces.

Mengikir atau Mengasah Gigi
Mengikir gigi iaitu mengasah gigi supaya lebih pendek atau licin atau supaya lebih rata. Perbuatan ini adalah haram kerana Allah Ta‘ala melaknat dan mengutuk orang yang mengikir gigi termasuk orang yang diminta dikikirkan giginya.

Di dalam hadis disebutkan: 
Maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan perempuan yang minta disambungkan rambut, perempuan yang bertatu dan yang minta ditatu, perempuan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya, dan perempuan yang mencabut bulu muka dan bulu kening.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Termasuk perkara yang diharamkan mengenai gigi seperti juga halnya mengikir gigi bagi tujuan menjarangkannya.

Ibnu Mas‘ud Radiallallahu anhu berkata:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutuk perempuan-perempuan yang bertatu dan yang minta ditatu, perempuan yang minta dicabut bulu muka dan bulu kening, perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.”(Hadis riwayat Abu Daud ath-Thayalisi) 
Maksud menjarangkan ialah membuat celah-celah kecil di antara barisan gigi hadapan. Penjarangan seperti ini biasanya dilakukan orang yang sudah lanjut umur supaya kelihatan muda dan cantik semula, kerana celah-celah kecil pada gigi hadapan ini adalah kejadian semula jadi pada anak-anak kecil. Jadi orang lanjut umur melakukannya supaya kelihatan belum tua. Di sinilah timbulnya unsur tujuan berhias menerusi penipuan dan pengubahan ciptaan Allah Ta‘ala. 
Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan sebab atau ‘illat diharamkan kerana adanya unsur di atas, khasnya kerana kecantikan. Tetapi jika dilakukan kerana keperluan perubatan, atau terdapat cacat pada gigi atau yang seumpamanya, tidaklah mengapa.                                  (Syarh ShahĂ®h Muslim: 7/361) 
Mengikut Fatwa
Perkara mengasah gigi disenaraikan dalam urutan ke 13 sebagai haram oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam siri fatwa Mufti Kerajaan Bil. 58/86. Kemudian berkata: 
“Maka harus bagi perempuan berbuat begitu kerana suami ada tujuan pada berhias isterinya dan ia telah izinkan.” (FMK: 58/68, h.589) 
Sumber: Pejabat Mufti Brunei Darussalam

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*