Minyak Wangi Yang Mengandungi Alkohol

Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar yang boleh dihasilkan melalui dua cara: 
  1. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)
  2. Sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan pencairan atau penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary of the English Language: 17) 

Cara yang pertama itu adalah merupakan cara bagaimana menghasilkan khamr (arak) atau minuman yang memabukkan.
Kenajisan Arak
Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullah arak itu adalah najis berdalilkan firman Allah: (Al-Majmû‘: 2/581) 
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Mâ’idah: 90) 
Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu mana-mana minyak wangi yang bercampur dengan alkohol yang dikeluarkan (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang sifatnya memabukkan adalah najis juga hukumnya.

Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol itu adalah bertolak dari sebab kenajisan arak yang sifatnya sebagai minuman yang memabukkan. Dengan itu dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan, kerana tapai pun menurut pakar ada mengandungi alkohol, tetapi ia tidak diharamkan kerana tidak memabukkan dan bukan pula dihasilkan atau diambil (extract) daripada arak.

Begitu juga dengan alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) yang mana sifatnya seperti racun lagi sangat memudharatkan, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah. (Ahsan al-Kalam fi al-Fatâwa wa al-Ahkâm: 1/220).

Imam an-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair: 
Ertinya: “Setiap yang memabukkan lagi cair.” (Mughni al-Muhtâj: 1/77). 
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah dalam mensyarahkan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullah di atas berkata: 
Ertinya: “(Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan itu ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.” (Tuhfah al-Muhtâj: 1/288).
Beliau (Ibnu Hajar Rahimahullah) mensyarah lagi: 
Ertinya: “(Cecair) ialah seperti arak dengan segala jenisnya iaitu yang dibuat daripada anggur; dan nira (tuak) iaitu yang dibuat selain daripada anggur.” (Tuhfah al-Muhtâj: 1/288).
Berlumur dengan najis tanpa ada sesuatu hajat adalah haram hukumnya sebagaimana kataIbnu Hajar Rahimahullah: 
Ertinya: “Haram berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada sesuatu hajat.” (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270). 
Dengan itu dapat disimpulkan bahawa setiap arak atau minuman yang memabukkan itu mengandungi alkohol, akan tetapi bukan setiap alkohol itu daripada arak atau minuman yang memabukkan.

Persoalannya, kita tidak dapat memastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam minyak-minyak wangi itu, adakah ia diambil daripada sumber yang suci atau najis?

Apabila timbul keraguan, menurut ajaran Islam perkara yang meragukan itu hendaklah ditinggalkan. Hasan bin Ali Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya: 
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi) 
Dalam hadis yang lain dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragukan (hukum) halal atau haramnya sesuatu itu adalah menandakan kesungguhan seseorang dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man ibnu Basyir Radhiallahu ‘anhu: 
Maksudnya: “Maka barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya daripada kecaman; dan barangsiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) dia seolah-olah terjatuh di dalam perkara haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Dari dalil-dalil di atas dapatlah difahami bahawa apabila tidak dapat dipastikan bahawa alkohol yang terdapat di dalam minyak wangi itu sama ada diambil daripada sumber yang najis atau suci, menurut ajaran Islam perkara tersebut hendaklah ditinggalkan daripada memakainya. Lagipun di pasaran banyak terdapat minyak wangi yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi alternatif kepada kita.

Sesungguhnya berharum-harum itu adalah disunatkan bagi kaum lelaki sama ada di dalam ataupun di luar rumah. Tetapi bagi kaum perempuan, mereka hanya disunatkan berharum-harum di dalam rumah. Adapun di luar rumah, adalah diharamkan bagi kaum perempuan berharum-harum, kerana keharumannya itu boleh menarik perhatian kaum lelaki untuk melakukan maksiat mata. Abu Musa Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 
Maksudnya: “Setiap mata itu berzina (apabila melihat perempuan dengan syahwat). Seorang perempuan apabila dia memakai harum-haruman dan melintas di majlis (orang lelaki), maka dia begini dan begini yakni berzina (berdosa).”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan ad-Darimi)
Sumber: Pejabat Mufti Brunei Darussalam 

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*