Hukum Bergincu (Memakai Lipstick)


Soalan:
Apakah hukum bergincu (lipstick) bagi perempuan yang bujang dan yang sudah berkahwin?

Jawapan:
Islam Agama Fitrah
Islam adalah agama fitrah kerana setiap hukum-hakamnya bersesuaian dengan fitrah manusia. Oleh itu tidak ada satu pun daripada hukum-hakam Islam itu yang bertentangan dengan fitrah manusia, bahkan fitrah manusia memerlukan dan berhajat kepada hukum-hakam bagi membimbingnya kepada jalan yang betul.

Keharusan Berhias Bagi Kaum Perempuan
Keharusan berhias bagi kaum perempuan adalah salah satu daripada hokum Islam yang meraikan fitrah manusia. Setiap perempuan inginkan kecantikan dan mahu dipandang cantik. Cara berhias pula berbeza-beza dari semasa ke semasa.

Islam tidak menentang keinginan fitrah semula jadi tersebut. Walau bagaimanapun, Islam juga telah menetapkan supaya kecantikan itu hanyalah untuk seorang lelaki sahaja iaitu pasangan hidupnya yang bernama suami. (Fi Zhilâl al-Qur’ân: 4/18/2514)

Hikmah diharuskan perempuan bersuami berhias adalah supaya dia sentiasa nampak menarik di mata suaminya dan sekaligus sebagai salah satu luahan perasaan daripada isteri itu bahawa dia (isteri) menyayangi suaminya.

Dengan demikian, ia akan lebih mengeratkan dan mengekalkan hubungan kasih sayang di antara suami isteri itu. Hubungan kasih sayang inilah antara matlamat syara‘ dalam hidup berumah tangga. Oleh itu, seorang perempuan yang betul-betul memahami matlamat tersebut akan berhias untuk suaminya ketika berada di rumah. Tetapi bukan berhias apabila hendak keluar dari rumah sebagaimana yang banyak dibuat oleh perempuan-perempuan sekarang ini. Mereka tidak berhias untuk suami, tetapi sebaliknya berhias apabila mereka hendak keluar rumah.

Berhias Dengan Bergincu
Bergincu merupakan satu cara berhias bagi kaum perempuan di zaman ini. Hukum mengenainya boleh dikaitkan dengan hukum berinai dan berhias bagi perempuan yang tidak berihram.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya:
Jika seorang perempuan itu mempunyai suami, disunatkan baginya berinai pada semua masa, kerana berinai itu adalah hiasan dan kecantikan, dan dia (perempuan yang bersuami) disunatkan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya sepanjang masa. Jika seorang perempuan itu tidak mempunyai suami dan dia bukan hendak berihram, adalah makruh baginya berinai tanpa sebab keuzuran kerana ditakuti akan berlaku fitnah ke atasnya dengan sebab inai dan berlaku fitnah ke atas orang lain dengan sebab dia berinai. (Al-Majmû‘: 7/196). 
Mengambil kira keharusan berinai dan berhias seperti di atas, maka tidaklah dilarang perempuan bersuami memakai gincu bagi tujuan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya, selama mana gincu itu sendiri suci yakni bukan daripada benda najis atau bercampur dengan bahan najis. Adapun perempuan yang tidak bersuami adalah makruh memakai gincu kerana ditakuti boleh menimbulkan
fitnah.

Lebih jelas lagi ialah seperti penjelasan Imam an-Nawawi Rahimahullâh ini:
Maksudnya:
Adapun memerahkan muka, menginai rambut dengan warna hitam dan menginai hujung-hujung jari, jika perempuan itu tidak mempunyai suami dan tuan, atau dia mempunyai suami tetapi dia melakukannya tanpa keizinan suami, maka hukumnya adalah haram. Tetapi jika suaminya mengizinkan, (maka) harus hukumnya menurut pendapat yang shahîh. (Syarh Shahîh Muslim: 1338).
Berdasarkan pendapat ini, maka memakai gincu juga boleh menjadi haram kepada perempuan yang tidak bersuami kiranya bergincu itu menimbulkan fitnah, seperti menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga bagi perempuan yang bersuami yang bergincu tanpa keizinan suami, hukumnya juga adalah haram.

Kaum perempuan dilarang keras daripada melakukan apa jua perkara yang boleh menarik perhatian atau menimbulkan nafsu syahwat kaum lelaki. Kerana itu, mereka dilarang memakai wangi-wangian di hadapan lelaki asing dan memakai perhiasan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki.

Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. (Surah an-Nûr: 31) 
Ibnu ‘Abbas dan Qatadah Rahimahullâh mengatakan bahawa larangan tersebut adalah disebabkan kaum perempuan pada ketika itu apabila melintasi orang, mereka akan menghentakkan kaki supaya didengar bunyi perhiasan kaki itu. Dan telah maklum bahawa lelaki yang mudah terangsang dengan perempuan, apabila mendengar bunyi perhiasan itu, akan membuatnya semakin ingin untuk melihat perempuan tersebut. Maka berdasarkan ini, dilaranglah kaum perempuan melakukan perkara yang boleh menarik perhatian kaum lelaki sama ada untuk diketahui perhiasannya yang terdiri daripada barang-barang kemas atau pun untuk tujuan yang lain. (Tafsir al-Fakhr ar-Razi: 12/210-211)

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*