Hukum Lelaki Memakai Gelang Magnetik

Soalan:
Apakah hukum lelaki memakai gelang magnetik?

Jawapan:
Rantai, subang dan gelang adalah pakaian atau perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan. Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan tersebut sekalipun bukan diperbuat daripada emas atau perak, kerana perbuatan sedemikian menyerupai kaum perempuan. Larangan supaya lelaki tidak menyerupai perempuan dan perempuan tidak menyerupai lelaki jelas disebutkan dalam hadith Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
                    
Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus bagi mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya.
(Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/261)              

Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh pula berkata:         

Ertinya: Dan daripada apa yang haram ialah gelang tangan dan gelang kaki untuk dipakai oleh orang lelaki dan orang khuntsâ (orang yang mempunyai dua jantina).
(Hâsyiah al-Bujairimi ‘ala al-Manhaj: 2/31)

Persoalan orang lelaki memakai gelang magnetik, jika dipakai bagi tujuan untuk berubat, ia boleh dilihat sebagai satu keuzuran sebagaimana persoalan orang lelaki memakai inai. Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Maka haram berinai ke atas keduanya (orang lelaki dan khuntsâ – orang yang mempunyai dua jantina) kecuali kerana ada keuzuran.
Nihâyah al-Muhtâj:2/25)

Asy-Syibramalissi Rahimahullâh pula menambah dengan berkata:

Ertinya: (Katanya kecuali) iaitu bilamana tidak ada yang selainnya (inai) yang dapat mengganti tempat inai untuk mengubat lukanya.
(Hasyiah asy-Syibramalissiala an-Nihâyah al-Muhtâj: 2/25)

Oleh yang demikian, hukum asal adalah tetap haram ke atas lelaki memakai gelang magnetik kecuali ada keuzuran seperti tidak ada ubat lain yang boleh menggantikan gelang tersebut sebagai ubat untuk mengubati penyakit. Dalam makna tanpa keuzuran, ia tetap haram dan dilarang memakainya oleh lelaki dan khuntsâ.

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*