Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok
Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok
adalah haram dari
pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
Keterangan/Hujah:
Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
Rokok mengandungi
pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan
bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan
kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak
4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
Ketagihan
tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di
tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di
seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung
dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari
merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis
kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut,
penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak
lagi.
Pada masa
kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu
besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan
sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang
ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun;
30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus,
tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut.
Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah
membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan
dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20
billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
Imam
al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam
kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan,
minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan,
maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun
yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram.
Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna
membunuh diri sendiri”.
Para ulama’
sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas
memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan
sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
a. Firman
Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah
kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
b. Firman
Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia
menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka
segala benda yang buruk”.
c. Sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan
membalas dengan kemudharatan”.(Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan
al-Daraqutni)
d. Kaedah
Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang
bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari
kemaslahatan”
e. Imam Ibn.
Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027)
menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan
pemborosan di sini ialah:
i.
Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak
atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
vi. Beberapa
negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang
amalan merokok.
Antaranya
seperti berikut:
a. Kerajaan
Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan
memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat
kemudharatan.
b.
Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok
adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan
masyarakat.
c. Al Imam
Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah
memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan
kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan
kepada kesihatan.
Hukum
pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok
kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara
jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum
pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur
ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak
yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah
Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan
di atas jelas telah memperincikan isu ini.
Al-Syeikh
Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa
Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:
“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
Dalam isu
merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya
sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib
dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan
juga harta.