Bekerja Tuntutan Kehidupan

Sebagai seorang manusia (hamba Allah) yang hidup di atas mukabumi ini,  wajib bagi kita bekerja mencari nafkah dan belanja kehidupan. Sumber kewangan boleh diperolehi dari usaha dan ikhtiar. Oleh yang demikian usaha dan ikhtiar adalah wajib menurut Ahli Sunnah wal Jamaah. Begitu juga harta yang diperolehi itu mestilah halal menurut pertimbangan syarak. Ia bergantung dengan cara memperolehinya iaitu samada dengan jalan yang halal dan diharuskan syarak.

Bekerja Sunnah Kehidupan

Firman Allah s.w.t dalam Surah an-Nabak ayat 8 - 11:

"Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasangan. Dan Kami menjadikan  tidur kamu untuk berehat. Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian. Dan kami telah menjadikan siang, masa untuk membina kehidupan"

Allah SWT memerintahkan  kepada setiap hamba-hamba-Nya supaya berkerja mencari penghidupan di dunia. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Taubah:105):

Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu'min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".

Jenis-jenis Nafkah

Seorang itu wajib berusaha bekerja untuk menyara dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya. Di dalam fiqh munakahat terdapat lima jenis nafkah yang wajib bagi seseorang muslim mencari dan memberikan kepada orang yang menjadi tanggungannya termasuk dirinya sendiri.

a)    Nafkah diri sendiri
b)    Nafkah Usul kepada furu'(bapa kepada anak)
c)    Nafkah furu' kepada usul (anak kepada bapa)
d)    Nafkan Suami terhadap isteri
e)    Nafkah lain-lain

Kelebihan  Bekerja Dalam Islam

1.    Diampunkan dosa

Untuk menjadikan kerja sebagai ibadah maka sesaorang itu mesti mempunyai niat kerana Allah s.w.t. Orang yang ikhlas bekerja akan mendapatkan ampunan dosa dari Allah SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah telah bersabda:

"Barang siapa yang pada waktu petang hari duduk kerana keletihan lantaran pekerjaan yang telah dilakukannya, maka ia akan mendapat pada hari tersebut dosa-dosanya diampuni oleh Allah s.w.t".

(Riwayat Thabrani)

"Sesungguhnya diantara dosa-dosa itu, terdapat satu dosa yang tidak dapat dihapuskan dengan shalat, puasa, haji dan umrah.' Sahabat bertanya, ‘Apa yang dapat menghapuskannya wahai Rasulullah?' Beliau menjawab, ‘Semangat dalam mencari rizki.

(Riwayat Thabrani)

"Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang mu'min yang rajin bekerja.

(Riwayat Thabrani)

2.    Terhindar dari azab api neraka

"Pada suatu ketika, Saad bin Muaz Al-Anshari menceritakan bahwa ketika Nabi  baru kembali dari Perang Tabuk, baginda melihat tangan Sa'ad yang melepuh, kulitnya terbakardengan pancaran panas matahari. Rasulullah bertanya, ‘mengapa tanganmu?' Saad menjawab, ‘Aku mencangkul tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga yang menjadi tanggunganku." Kemudian Rasulullah SAW mengambil tangan Saad dan menciumnya seraya berkata, ‘Inilah tangan yang tidak akan pernah disentuh oleh api neraka'”

(Riwayat Tabrani)

Syarat  Bekerja Yang Berpahala

1.    Niat Ikhlas Kerana Allah SWT

Bekerja mestilah berniat  karena Allah SWT sebagai kewajiban dari Allah yang harus dilakukan oleh setiap hamba untuk diri, keluarganya dan orang yang menjadi tanggungnya.

"Dan tidaklah kamu diperintah melainkan beribadat ikhlas baginya sahaja agama"

(Surah al-Baiyyinah:)

"Hanya sanya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap sesaorang itu apa yang diniatkannya...."

2.    Bersungguh-sungguh dan profesional dalam bekerja

Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda”

"Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang apabila ia bekerja, ia menyempurnakan pekerjaannya".

(Riwayat Tabrani)

3.    Sikap Jujur  dan Amanah

Seorang peniaga yang jujur lagi dapat dipercaya, (kelak akan dikumpulkan) bersama para nabi, shiddiqin dan syuhada'.

(Riwayat Tarmizi)


4.    Menjaga akhlak dan keperibadian Muslim

Bekerja juga harus memperhatikan adab dan etika sebagai seroang muslim, seperti etika dalam berbicara, menegur, berpakaian, bergaul, makan, minum, berhadapan dengan customer, rapat, dan sebagainya. Bahkan akhlak atau etika ini merupakan ciri kesempurnaan iman seorang mu'min.

Dalam sebuah hadits Rasulullah SAW bersabda:

"Keimanan seorang mu'min yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya

(Riwayat Tarmizi)

5.    Tidak Melanggar Prinsip-Prinsip Syariah

Etika bekerja dalam Islam adalah tidak boleh melanggar prinsip-prinsip syariah dalam pekerjaan yang dilakukannya. Tidak melanggar prinsip syariah ini dapat dilihat dari dua aspek:

Pertama dari sisi zat dari pekerjaannya, seperti mempromosikan  barang yang haram, menyebarluaskan kefasadan (seperti pornografi), unsur-unsur riba, judi, gharar dan sebagainya.

Kedua dari sisi perlaksanaan pekerjaan tersebut seperti rasuah, salah guna kuasa, membuat fitnah dalam persaingan, tidak menutup aurat dan sebagainya.

"Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merusakkan (pahala) amal-amalmu."

(Surah Muhammad: 33)

6.    Menghindari Syubhat

Seseorang muslim hendaklah menjaga jangan ada perkara yang syubhat atau sesuatu yang meragukan. Oleh karena itulah, kita diminta hati-hati dalam perkara ini. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

"Halal itu jelas dan haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara-perkara yang syubhat. Maka barang siapa yang terjerumus dalam perkara yang syubhat, maka ia terjerumus pada yang diharamkan..." 

(Riwayat Muslim)

7.    Menjaga Ukhuwah

Masalah menjaga ukhuwah antara sesama muslim adalah suatu perkara yang penting. Jangan sampai dalam bekerja atau berusaha melahirkan perpecahan di tengah-tengah kaum muslimin. Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan bahawa:

"Dan janganlah kalian membeli barang yang sudah dibeli saudaramu"


Wallahua'lam.

Sumber: 
http://www.jais.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*