Bersegera Membayar Hutang

Kita sering menyebut frasa alangkah bahagianya hidup tanpa dibelenggu hutang [senyum lebar].  Namun sejauhmanakah kita boleh mengira mereka yang hidup tanpa dibelenggu hutang ini?  Malah bagi mereka yang mula menjejaki ke institusi pengajian tinggi pun sudah menerima tempiasnya. Berhutang untuk melanjutkan pelajaran menerusi pinjaman pendidikan.
Walau bagaimanapun, apabila tamat pengajian ada pula yang enggan membayar hutang kepada mereka yang membantunya.  Lebih mengecewakan terdapat dalam kalangan mereka yang berhutang ini telah hidup mewah tetapi tidak amanah untuk menjelaskan hutang yang dibuat.

Melihat kepada situasi sebegini, boleh dikatakan hari ini masyarakat seolah-olah membenarkan hutang melingkari segenap lapisan hidup. Walaupun suatu masa dahulu hutang ini dianggap sebagai satu penghinaan akan tetapi berhutang kini dipandang sebagai lumrah hidup dan dianggap sebagai kemestiaan dalam meneruskan kehidupan.

Perubahan sudut pandang ini menjadikan berleluasanya amalan berhutang. Apatah lagi boleh dikatakan budaya berhutang telah menjadi gaya hidup masyarakat Islam sekarang.  Manakala  kecekapan sesebuah ekonomi mula bergantung kepada sejauhmana kecekapan untuk menguruskan kewangan yang membabitkan hutang berbanding urusan kegiatan ekonomi yang sebenar. 
Suasana ekonomi yang sangat mencabar menuntut kita memberi perhatian untuk berdepan kesan buruk seperti peningkatan jumlah kemiskinan, jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin, peningkatan kos sara hidup serta beban hutang. Tekanan kewangan akibat hutang yang tinggi atau akibat dari ancaman kemuflisan akan meningkatkan jenayah kecurian, rasuah, penipuan dan lain-lain.  Di samping itu, masalah sosial yang lain juga akan timbul seperti penyakit kemurungan, bunuh diri, perceraian, penderaan ahli keluarga dan lain-lain.
Sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang ada, mudah membuat pinjaman, dan gagal mengawal nafsu berbelanja dikenalpasti punca budaya ini menular.

Begitu juga sebahagian besar hutang isi rumah yang terkumpul ditumpukan kepada pengumpulan aset melalui pembelian harta kediaman dan kenderaan.  Pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang masyarakat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana masyarakat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. 

Harga rumah juga menjadi bebanan kewangan yang tinggi kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan keluarga muda. Untuk memiliki rumah, mereka terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman dan menanggung bayaran bulan yang terlalu tinggi berbanding gaji. Bagi setiap keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dianggarkan dua pertiga dari gaji mereka digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta menyebabkan baki untuk perbelanjaan makanan, pakaian dan pendidikan menjadi terlalu kecil.

Mengikut satu kajian nisbah hutang isi rumah di negara ini berbanding dengan pendapatan boleh guna (disposable income) adalah yang paling tinggi di dunia iaitu sebanyak 140 peratus.  Kadar tersebut jauh mengatasi Amerika Syarikat (123.3 peratus), Singapura dengan 105 peratus, Korea (101 peratus), Thailand (53 peratus) dan Indonesia (38 peratus). Keadaan ini akan memberi implikasi negatif kepada kesejahteraan masyarakat. Bahagian terbesar hutang isi rumah di negara ini adalah untuk membayar balik pinjaman perumahan diikuti pinjaman kereta, penggunaan peribadi, pembelian saham dan kad kredit.

Pun begitu, keadaan semasa di negara kita sebenarnya turut mendorong masyarakat untuk berhutang. Keadaan ini berlaku kerana terdapat banyak kemudahan hutang yang disediakan oleh institusi kewangan sehingga mengaburi mata si peminjam. Keistimewaan kemudahan pinjaman yang mudah disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan semestinyaa turut menggalakkan individu terus berhutang.  Cuba kita lihat syarat-syarat untuk membuat pinjaman peribadi di institusi-institusi kewangan.

Sesetengah institusi kewangan hanya mensyaratkan satu hingga tiga bulan slip gaji tanpa perlu  penjamin untuk permohonan mereka diproses.  Malah tidak sampai seminggu proses kelulusan sudah boleh dapat.

Perlumbaan penawaran amalan hutang ini menjadi semakin hebat apabila didapati sesetengah institusi kewangan bukan sahaja menawarkan pinjaman dengan sogokan hadiah tetapi mendesak pelanggan. Dari hari ke hari, semakin tinggi Key Performance Indicator (KPI) ditetapkan oleh institusi penawaran kredit kepada kakitangan pemasarannya untuk dicapai. Perlumbaan ini bakal menghambat gunatenaga Malaysia dan negara ke arah kemelesetan ekonomi untuk kali yang seterusnya dengan kewujudan kelompongan nilai ekonomi sebenar berbanding transaksi kewangan yang ada.

Pada dasarnya isu hutang dan pinjam-meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang, dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan mereka yang berada dalam kesusahan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283 bermaksud “...Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.”

Walaupun agama Islam mengharuskan seseorang berhutang dalam keadaan darurat atau dalam keadaan yang sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan namun, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur serta bertanggungjawab membayar hutang mereka setelah berkemampuan. Perkara inilah umat Islam perlu titikberatkan agar kehidupan yang dilalui lebih tenang dan aman.

Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini, maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah SWT, amalan kebajikan tertolak, dan tergolong dalam orang yang zalim.

Kesimpulannya sebagai seorang Muslim kita tidak boleh lari dari hutang. Apa jua jenis pinjaman atau hutang sama ada kecil atau besar, wajib kita bayar.  Malah dalam Islam juga menyatakan hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut melainkan dihalalkan oleh si pemiutang.  Walau bagaimanapun mana-mana individu yang masih berhutang bersegeralah membayarnya mengikut tempoh yang ditetapkan.
Sumber: http://www.ikim.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*