Islam Penyelesai Masalah Ummah


Firman Allah yang bermaksud:
Dan Kami tidak utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke sekelian alam. (Al-Anbiyak: 107)
Antara bentuk rahmat yang dibawa dan disebarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui agama Islam ialah menghasilkan segala bentuk kebaikan yang berupaya menjamin kebahagiaan hidup dunia dan diakhirat serta menjauhkan segala bentuk kerosakan yang boleh menggugat kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan bernegara umat manusia. Justeru itu para fuqahak menyimpulkan matlamat agama Islam diturunkan oleh Allah kepada manusia sebagai “jalbu al-masalih’wa darĂșl al-mafasid”yang bermakna mendatangkan kebaikan dan mengelakkan kerosakan.

Allah adalah Tuhan yang telah menjadikan manusia dan alam seluruhnya. Dia Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada manusia. Matlamat manusia dilahirkan di dunia ini adalah sebagai ujian yang akan berakhir di akhirat untuk menerima pembalasan bagi segala kerja dan aktiviti yang dilakukan di dunia. Bagi menghasilkan kebaikan dan mengelakkan mudarat daripada menimpa manusia maka Allah telah menggariskan peraturan hidup yang perlu dilalui oleh manusia dalam berakiviti di dunia ini. Peraturan ini dikawal selia dengan lima hukum yang mengikut setiap tindakan dan aktiviti manusia. Lima hukum tersebut ialah wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Wajib dan sunat adalah kawalan berbentuk melakukan sesuatu aktiviti atau perintah. Manakala haram dan makruh adalah kawalan berbentuk meninggalkan sesuatu aktiviti atau larangan. Manakala harus tidak berbentuk perintah melakukan atau meninggalkan. Pulangan perlaksanaan semua bentuk perintah dan larangan adalah positif dan kebaikan manusia. Sebaliknya meninggalkan perintah dan melakukan larangan akan meninggalkan kesan negatif terhadap manusia.

Fokus perintah dan larangan yang ada dalam agama Islam adalah bagi menjaga lima keperluan asasi manusia yang menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Lima perkara tersebut ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam ilmu usulfiqh lima perkara ini dinamakan sebagai maslahat daruriatyang bermaksud amat-amat diperlukan oleh manusia ketika di dunia, tanpanya kehidupan manusia akan menjadi porak peranda.

Perintah yang ada dalam Islam adalah bertujuan untuk menyubur dan meningkatkan lima maslahat daruriat di atas. Manakala larangan dalam Islam bertujuan untuk menjaga dan mengawal maslahat daruriat tersebut daripada lemah, rosak atau binasa. Apabila lima maslahat daruriat ini disuburkan maka manusia akan dapat merasai kehidupan yang sejahtera di dunia dan kehidupan penuh nikmat di akhirat. Sebaliknya jika lima maslahat daruriat ini lemah atau rosak maka manusia akan menerima padahnya di dunia dengan mengalami kekacauan hidup, ketidak tenteraman sosial dan berbagai bentuk gangguan.

Kejayaan menyuburkan lima maslahat daruriat ini adalah bergantung kepada usaha gigih manusia. Begitu juga kegagalan mengekalkan prestasi cemerlang lima maslahat daruriat ini, sebaliknya ia runtuh dan binasa juga adalah akibat daripada tindak tanduk manusia. Bagi menrealisasikan keadilan Allah, Dia telah menggariskan panduan bagi manusia dalam al-Quran dan al-Sunnah serta sumber perundangan Islam yang lain untuk diikut oleh manusia. Semua panduan ini terangkum dalam akhlak Islam paparan Rasulullah s.a.w yang bersifat komprihensif, positif dan membina. Ini dinyatakan sendiri oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Sesungguhnya engkau berada atas akhlak yang mulia (Al-Qalam: 4)

Akhlak Islam menyusun tatacara dan disipin antara individu dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi dan alam seluruhnya. Individu yang mempraktikkan akhlak Islam akan dapat merasai kepuasan dan ketenangan. Keluarga dan masyarakat yang terbentuk dari individu yang mempraktikkan akhlak Islam akan menikmati kesejahteraan dan kesentosaan hidup. Suasana sentosa dan sejehtera ini bukan fatamorgana yang menipu manusia, tetapi ia adalah realiti yang telah dikecapi oleh individu dan masyarakat dahulu apabila mereka mematuhi disiplin yang telah ditetapkan oleh Allah.

Sumber:
http://e-taalim.jais.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*