Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri,
secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang,
memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang
ada untuk menjamin kebahgiaan anak mereka di masa akan datang. Walaupun dalam
keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak
mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa
membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat
permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada
waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit
anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi
mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang
lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka
yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka
juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar
oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.
Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa
tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik
dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan redho dan sabar. Mereka
juga sedar jika Allah tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya
kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.
Pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak, mereka sanggup berusaha
melakukan berbagai perubatan sama ada moden ataupun tradisional bagi menangani
masalah mereka. Selain dari itu, mereka berdoa kepada Allah semoga mereka
diberikan cahaya mata sebagai penyambung jenerasi keturunan mereka. Ada
diantara mereka redho dengan ketentuan dan ketetapan Allah kepada mereka yang
tidak mempunyai zuriat, mereka mengambil anak angkat untuk memeriahkan
rumahtangga mereka.
Ada di antara mereka menanti bertahun-tahun lamanya, baru Allah menganugerahkan
cahaya mata kepada mereka. Mereka sambut dengan penuh rasa kesyukuran dan
kebanggaan. Setelah sekian lama mereka menanti akhirnya dikurniakan juga anak
kepada mereka sebagai penyeri rumahtangga mereka.
Sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah ini
dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri
rumahtangga kita. Firman Allah :
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Al-Kahfi : 46)
Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :
“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zaariyat : 58)
Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun berak. Ibunya bangun dengan hati yang ikhlas dan sabar untuk membuat susu kepada anaknya atau membasuh berak anaknya. Pada waktu siang pula, anaknya merap dan mahu sentiasa didukung sehingga membantutkan pekerjaan ibu untuk mengemas rumah dan memasak. Apabila anak sudah boleh merangkak dan berjalan, habis semua pelusuk dan penjuru rumah si anak terokai, habis semua baju dan barang-barang dipunggah oleh anak, tetapi si ibu melayan karenah anak dengan sabar dan mengemas kembali barang yang diselerakkan oleh anak. Bertambah baik lagi apabila si ayah turut membantu ibu dalam menjaga anak mereka, jika si ibu memasak, solat, mengemas rumah si ayah yang menjaganya. Begitu juga si ayah bagun dari tidur untuk membantu isterinya membuat susu kepada anak pada waktu malam dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.
Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunah Rasulullah saw. Dari Aisyah ra ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :
“Apa yang di lakukan Rasulullah saw di rumahnya? Aisyah ra menjawab : Rasulullah saw membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika beliau saw mendengarkan azan beliaupun keluar (ke mesjid)”. (Riwayat Al-Bukhari)
Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.
Kongsikan artikel ini :)
Sumber:
www.ustaznoramin.com