Sebenar-benar Perkataan dan Sebaik-baik Jalan Pimpinan Siri 2

Huraiannya:
Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato:
Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato,  Rasulullah s.a.wmenyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.
Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat,  seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglimamemerintah tentera,  memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.
Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum,  kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.
Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya qiamat:
Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah,  tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.
Ketiga - Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan: 
Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.
Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yangluas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kitab Allah,  kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.
Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur. 
Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang,  Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir kealam nyata melalui kajian-kajian sains.
Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah dan kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar,  maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan,  kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.
Pimpinan Rasulullah s.a.w.:
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar,  yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh AllahAzza wa Jalla pencipta seluruh alam. 
Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat,  mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Sumber: http://www.islam.gov.my



Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*