Zakat Siri 3

    KESAN PERCAMPURAN DALAM NISAB DAN KADAR YANG WAJIB DIKELUARKAN

    Harta campuran adalah harta yang dimiliki oleh beberapa orang kemudian digabungkan seolah-oleh dimilik oleh seorang dengan sebab sama dari sudut sifat dan keadaannya. Seumpama satu tempat pemeliharaan, satu tempat minum dan satu kandang termasuklah dari sudut jaminan, pengurusan, pembiayaan terhadap harta perusahaan.
    Pada asalnya asas percampuran hanya digunakan terhadap binatang ternakan, akan tetapi terdapat sebahagian mazhab yang lain menggunakan kaedah ini selain dari binatang seumpama terhadap tanaman, buah-buahan dan wang. Apabila kaedah ini dikenakan terhadap harta perusahaan, kita akan dapati seolah-olah harta itu milik seorang, sama ada dari sudut kiraan nisab dan kadar yang wajib dikeluarkan zakat.

    Contohnya:
    Kita dapati bahawa nisab haiwan yang dimiliki oleh tiga orang dan setiap orang memiliki sebanyak 15 ekor kambing, apabila dicampur menjadi 45 ekor, di mana jumlah ini telah melebihi jumlah nisab yang dikenakan zakat iaitu sebanyak 40 ekor kambing, maka wajib dikeluarkan zakat seekor kambing, akan tetapi sekiranya dihitung ke atas setiap pemilik sudah pastilah nisabnya tidak akan sampai dan tidak boleh dikeluarkan zakat.
  1. Lebih dari keperluan asas.
  2. Barang-barang yang dimiliki secara asasi kerana berhajatkan kepadanya seperti rumah yang digunakan untuk berteduh, alat-alat yang digunakan, mesin-mesin, kenderaan-kenderaan seperti kereta motor dan alat-alat rumah adalah tidak dikenakan zakat, begitu juga wang yang disimpan untuk membayar hutang (akan dijelaskan kemudian) juga tidak diwajibkan zakat, kerana orang yang berhutang sangat berhajatkan kepada harta yang berada ditanganya bagi mempertahankan dirinya dari terus berhutang dan dihina. Oleh yang demikian, maka harta yang diperlukan atau dihajati tidak diwajibkan zakat. 
  3. Cukup haul.
  4. Haul ialah peredaran harta satu nisab dalam 12 bulan Kamariah (bulan Hijrah). Akan tetapi jika terdapat kesusahan untuk menghitungnya dengan bulan Hijrah disebabkan terikat dengan kiraan tahun Masihi, maka boleh dikira mengikut tahun Masihi dengan penambahan kadar yang wajib dikeluarkan iaitu dari 2.5 % kepada 2.577 kerana bilangan hari tahun Masihi lebih dari tahun Hijri.
    Tidak disyaratkan haul kepada zakat tanam-tanaman dan buah-buahan, kerana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
    Keluarkanlah haknya iaitu zakat ketika hari menuai.
    (Surah al-An'am, Ayat:141),
    Samalah juga terhadap zakat galian dan harta yang ditanam di dalam tanah di mana tidak disyaratkan haul. 
  5. Mencegah pergandaan di dalam zakat.
  6. Apabila sesuatu harta telah dikeluarkan zakatnya kemudian harta tersebut berubah bentuk, seumpama hasil pertanian yang telah dikeluarkan zakat kemudian hasil pertanian itu dijual dengan harga tertentu, ataupun kambing yang telah dikeluarkan zakat setelah cukup nisab kemudian dia menjual kambing-kambing tersebut dengan harga tertentu, maka harta yang diperolehi dari jualan harta yang telah dikeluarkan zakat apabila diperolehi di akhir haul tidak perlu dikeluarkan zakat di dalam haulnya agar tidak berlaku pergandaan di dalam pembayaran zakat terhadap satu jenis harta. Sebagaimana kenyataan Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud:
    Tidak ada gandaan dalam berzakat.
    (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
  7. Harta umum dan harta waqaf kebajikan:
  8. Harta umum tidak wajib dikeluarkan zakat kerana harta itu dimiliki oleh orang ramai dan di antara mereka itu terdapat fakir miskin. Dalam hal ini tidak terdapat milik khusus malah tidak ada agensi kerajaan yang mengambil zakat dari hartanya sendiri untuk diberikan kepada dirinya sendiri. Samalah juga halnya terhadap harta waqaf yang diwaqafkan untuk kegunaan kepentingan umum seperti untuk para fakir miskin, masjid-masjid, anak-anak yatim dan lain-lain atas jalan kebaikan dan kebajikan umum. Ini adalah kerana pemilik asal harta tersebut telah mewakafkannya untuk kepentingan umum iaitu tidak menetapkan milik orang tertentu. Begitu juga harta-harta persatuan, yayasan-yayasan kebajikan sosial tidak dikenakan zakat kerana harta-harta tersebut adalah milik sekelompok orang-orang fakir yang hanya disalurkan kepada orang-orang yang memerlukan disamping harta-harta itu bukan milik seseorang atau orang-orang tertentu.

    JENIS-JENIS ZAKAT

    Zakat Wang Tunai (Emas, Perak dan Mata Wang):

    Definisi Wang Tunai:
    Apa yang dimaksudkan dengan wang tunai ialah semua jenis mata wang kertas dan logam, sama ada mata wang tersebut digunakan di negeri yang ingin dikeluarkan zakat ataupun mata wang negeri lain.
    Kewajipan Mengeluarkan Zakat Wang Tunai:
    Kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai telah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Adapun ayat yang menyebut tentang perkara tersebut ialah firman Allah s.w.t Yang bermaksud:
    "Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. "
    (Surah at-Taubah, Ayat: 34-35).
    Manakala ketetapan yang disebut di dalam hadis pula ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
    Harta yang telah dibayar zakatnya tidak lagi dinamakan dengan harta simpanan (kanzun).
    (Hadis riwayat Hakim dan disahkan oleh Zahabi).
    Begitu juga sabda Nabi s.a.w:
    Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya.
    (Hadis riwayat Imam Muslim).
    Ulama-ulama Islam di setiap masa telah bersepakat di atas kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai (emas dan perak) dan perkara tersebut juga dikiaskan kepada semua jenis mata wang yang lain kerana telah diputuskan bahawa ia juga menggunakan hukum yang sama dengan emas dan perak. Institusi Fekah Islam di Jeddah telah membuat keputusan di dalam no. 9, perkara 3 yang berbunyi: (Wang kertas juga dianggap sebagai kekayaan wang tunai yang memiliki nilai (daya beli) sepenuhnya dan ia juga menggunakan hukum syarak sama sebagaimana yang ditetapkan untuk emas dan perak seperti hukum riba, zakat, jualan salam dan sebagainya).

Sumber: http://www.islam.gov.my

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*