Mengapa Orang Islam Tidak Boleh Makan di Restoran Bukan Islam

Restoran dan kedai-kedai makan bukan Islam di negara kita (Brunei Darussalam), sudah lama dilabel: “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam”. Label ini berunsur pimpinan, irsyâd atau pemberitahuan kepada orang-orang Islam, bahawa mereka janganlah makan minum di tempat-tempat berkenaan, namun label itu tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang. Dalam makna yang lain, kalau ada orang Islam makan minum juga di tempat-tempat berkenaan, tidak ada peruntukan undang-undang untuk mengenakan hukuman ke atas mereka.

Tujuan label ini jelas, untuk memandu dan memelihara orang-orang Islam supaya memakan hanya makanan yang halal, bukan yang syubhah, jauh sekali yang haram. Tidak payahlah diperdebatkan, jauh sekali ditengkarkan sesama Islam. Kecuali oleh orang-orang yang keras hati. Tanda keras hati itu apabila seseorang Islam menasihati saudaranya, lalu saudaranya itu berkata: “Aku tidak perlu nasihat …”, “aku punya suka …”, “orang lain apa peduli” dan lain-lain lagi seumpamanya.
Tidak syak lagi sesiapa yang bersikap demikian itu, kerugian akan menimpa dirinya sendiri. Tidakkah kita menyedari ada ungkapan hadis “agama itu ialah nasihat”. Jadi, bukanlah kecil dan remeh nasihat itu.

Siapakah kita yang menolak nasihat itu? Sedangkan seorang khalifah besar, raja orang-orang yang beriman, yang sangat terkenal kerana kealiman dan ketaqwaannya iaitu Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz Radhiallahu ‘anhu yang disebut-sebut sebagai mempunyai ramai penasihatnya, di antara mereka itu ialah seorang yang berpangkat ‘Penasihat Khas’, yang juga bernama ‘Umar bin Muhajir.

Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz ini pernah berpesan kepadanya: 
Ertinya: “Sentiasalah di sampingku, wahai ‘Umar! Apabila engkau mendapatiku menyimpang daripada kebenaran, maka peganglah hujung bajuku dan goncanglah dengan kuat, serta katakan kepadaku: “Takutlah engkau kepada Allah, wahai ‘Umar bin Abdul Aziz! Sesungguhnya besok hari engkau akan mati.” 
Siapa dia ‘Umar bin Abdul Aziz? Pun tara beliau itu, masih sahaja berhajat kepada nasihat, betapa pula kita? Inilah dia contoh hati yang bersih, yang lunak, yang putih bercahaya, bukan yang hitam pekat dan keras membatu.

Dasar larangan memakan sesuatu yang syubhah adalah terang disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda: 
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah (yang samar), ia tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa yang memelihara (dirinya daripada) segala kesamaran itu, sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang melakukan atau membuat perkara syubhah (kesamaran), jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Hadis lain juga menyebutkan:
Maksudnya: “Tinggalkanlah perkara-perkara yang membawa ragu-ragu kepadamu, (dan) ambillah apa-apa yang tidak meragukanmu.” (Hadis riwayat an-Nasa‘i dan lain-lain)
Ada berbagai-bagai sebab mengapa orang-orang Islam dilarang makan makanan yang disediakan di restoran atau kedai makan orang bukan Islam, di antaranya:
  1. Adakah daging-daging, seperti kerbau, sapi atau ayam yang disaji atau disediakan itu telah disembelih menurut syara‘, dalam makna yang lain adakah daging-daging tersebut daging yang halal, diketahui serta diakui oleh pihak berautoriti bahawa daging-daging itu bersumber daripada yang halal?
  2. Jika daging-daging itu halal, sebelum dimasak adakah ia telah dibersihkan secara yang semestinya sehingga ia suci bersih, umpamanya daging yang dibersihkan dengan air itu masihkah ia berbaki darah ataupun telah hilang warna darah itu sama sekali? Pada peringkat ini sahaja pun orang bukan Islam tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, yakni cara membersihkan daging yang berdarah itu. Sedang orang Islam sendiri pun kadang-kadang ada yang membersihkan daging dengan cara mencelup-celup daging atau daging ayam yang bernajis itu ke dalam air seperti air dalam besen atau dalam periuk - lebih-lebih lagi kalau musim kurang air. Walaupun dengan beberapa kali celup - cara ini tidaklah memadai. Daging tersebut masih tidak suci.
  3. Bagaimana pula bahan-bahan campuran yang lain seperti kicap, sos, bahan perasa dan lain-lain adakah terdiri daripada bahan-bahan yang halal?
  4. Adakah tempat memasak seperti periuk, kuali, pisau, ‘sesaban’ (tempat memotong) dan alat-alat lain tidak pernah digunakan untuk perkara-perkara najis seperti babi atau bercampur-campur dengan yang najis? 
Bukankah perkara-perkara seperti ini merupakan sesuatu yang syubhah? Apatah lagi kalau ia memang diyakini tidak halal?

Kita orang-orang Islam mesti dan wajib sentiasa beringat, sensitif dan waspada terhadap makanan yang kita makan, lebih-lebih lagi jika makanan itu disedia dan disaji oleh orang bukan Islam, kerana mereka itu tidak mengerti, tidak mengenali dan tidak faham apa itu halal haram dalam Islam. Yang mereka tahu pun hanyalah daging babi yang dilarang untuk orang Islam, sementara yang lain-lain, seperti tempat memasak, pinggan mangkuk, sudu, garpu, hatta barangkali jika daging babi itu dicampur dengan daging lembu atau ayam, maka daging lembu dan ayam itu - bagi mereka - boleh dimakan oleh orang Islam, asal sahaja bukan daging babi saja-saja.

Pemahaman tentang halal haram adalah memerlukan sukat-sukat dengan ilmu syara‘. Ia tidak boleh ditentukan melainkan hanya dengan cara ini sahaja.

Kerana itulah orang bukan Islam adalah ditolak dan tidak sah pengakuan atau dakwaan mereka tentang kehalalan sesuatu benda makanan itu. Atau andainya pun betul bersih dan halal, tetapi masih menyangkut juga hukum syubhah (kesamaran), di mana perkara-perkara syubah itu tetap disuruh untuk dijauhi. 
Cuba lihat satu contoh kejadian yang disebut oleh Berita Harian dalam keluarannya Selasa 19/10/2004 di bawah tajuk: ‘Pengusaha Bukan Islam Kurang Faham Isu Halal’. Antara lain ia menyebut: “Kisah sebuah kilang penyembelihan tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Bukit Serdang mencampuradukkan daging ayam dan itik dengan ketulan anak babi siap diproses memang menggemparkan, lebih-lebih lagi apabila ayam dan itik ini yang dibungkus dengan logo ‘Halal’ dibekalkan kepada penjual di kawasan majoriti Islam, peniaga sate dan pasar raya besar terkemuka di sekitar Lembah Klang.” 
Inilah pengalaman negara jiran berhubung dengan isu halal yang melibatkan daging. Ia bukanlah sekali ini sahaja. Di negara kita sendiri, juga turut mempunyai cerita-cerita yang berbagai-bagai mengenai makanan yang dicampur dengan daging babi, ayam dan itik yang dimasukkan tanpa permit dan lain-lain. Tidaklah mustahil ayam dan itik yang dimasukkan tanpa permit itu turut sampai ke tangan orang-orang Islam selain bukan Islam. 
Melarang orang-orang Islam supaya tidak memakan makanan yang disediakan di restoran atau kedai makan bukan Islam itu, selain untuk memelihara orang-orang Islam supaya jangan jatuh kepada haram serta syubhah, juga ialah untuk membimbing mereka agar sama-sama berpendirian teguh memelihara asas-asas syariat. Di antara asas-asas tersebut ialah سَدُّ اُلذَّرَائههعُ (menutup segala pintu dan jalan kejahatan atau dosa). Asas ini tidak syak lagi menjadi punca kita memperolehi keselamatan di dalam apa-apa jua perkara, sama ada perkara dunia ataupun akhirat, tidak terkecuali ibadat kita orang-orang Islam. 
Hubungan Amal Ibadat Dan Makanan
Amal ibadat orang-orang Islam, termasuk doa mereka mempunyai hubungan dan pertalian yang rapat dengan makan dan minum mereka, yakni makanan dan minuman itu hendaklah daripada yang halal, sebagaimana dijelaskan oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: 
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik belaka. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang Dia perintahkan kepada sekalian rasul. Lalu Allah Ta‘ala berfirman (seperti yang disebut dalam hadis, yang tafsirnya): “Wahai sekalian rasul! Makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amal yang salih.” Dan Dia berfirman: “Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah daripada segala yang baik-baik yang Kami telah rezekikan kepada kamu.” Kemudian Dia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): “Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhan ku!” Padahal makanannya haram, dan minumannya haram, dan pakaiannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram; maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?” (Hadis riwayat Muslim) 
Menurut riwayat yang dikeluarkan oleh ath-Thabarani daripada Ibnu ‘Abbas katanya: “Pernah aku membaca di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ayat ini:
Tafsirnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah barang yang halal lagi baik daripada apa yang ada di bumi.” (Surah al-Baqarah: 168) 
Kemudian Sa‘ad bin Abu Waqqash bangun seraya berkata: “Ya Rasulullah! Aku mohon kepada Allah supaya aku dijadikan orang yang diperkenankan doanya”. Lalu Rasulullah bersabda: 
Maksudnya: “Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makananmu nescaya engkau (orang yang) diperkenankan permintaan. Dan demi diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan (menyuapkan) sesuap makanan haram ke perutnya, tidak diterima Allah daripadanya amalan selama empat puluh hari, dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani) 
Difahamkan daripada hadis ini bahawa doa yang diperkenankan itu ialah doa orang yang makan makanan yang halal sahaja. Demikian juga amalannya yang lain-lain.

Ayat dan hadis-hadis di atas rasa-rasanya cukup jelas untuk menerangi jalan kita, maksud saya, telah cukup untuk memberikan kita kefahaman dan panduan tentang betapa mustahaknya mengawal makan dan minum itu sehingga kita tidak terkena yang haram atau syubhah.

Mengenai restoran atau kedai makan yang ditanda “Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam”, diharapkan akan dihormati oleh orang-orang Islam sendiri. Bilamana kita menghormatinya, bermakna kita menghormati diri kita sendiri dan menghormati agama kita yang suci, serta juga bererti kita membawa dan mengajak orang-orang lain itu turut menghormatinya. Jadi bayangkanlah, manakala kita orang Islam sendiri tidak hormat dan tidak ‘ingau’ (peduli) terhadap peraturan yang kita buat sendiri, bagaimanakah boleh diharapkan orang lain akan menghormatinya?

Di samping itu pihak-pihak yang berautoriti di dalam kerajaan Islam pula patutlah mengambil langkah-langkah munasabah di segi perlaksanaannya, supaya tidaklah ia akan tinggal tanda semata-mata tanpa memberi apa-apa makna, atau lebih malang lagi akan menjadi sendaan belaka.


Sumber: Pejabat Mufti Brunei Darussalam

Doa Pembuka Hati

* Daftar untuk menerima artikel terkini melalui emel*