Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 telah membincangkan mengenai
Hukum Penggunaan Indelible Ink. Muzakarah telah membuat keputusan seperti
berikut:
Berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan
daripada Jabatan Kimia Malaysia serta penjelasan daripada Suruhanjaya
Pilihanraya Malaysia (SPR), adalah didapati Indelible Ink tidak
mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan
kesan mudharat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air)
apabila digunakan.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dari aspek syarak
penggunaan Indelible Ink adalah harus dan dibenarkan kerana
ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam. Keputusan
ini hanya tertakluk kepada bahan yang telah dikemukakan oleh SPR dan diuji oleh
Jabatan Kimia Malaysia sahaja
http://www.e-fatwa.gov.my